Hisham: Pengganas tak akan tunggu Kertas Putih Pertahanan
Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein membidas kelewatan pembentangan Kertas Putih Pertahanan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
"Apabila ditanya apakah rancangan Kementerian Pertahanan (Mindef), jawapannya mudah: Tunggu Kertas Putih Pertahanan.
"Masalahnya ialah, Menteri Pertahanan telah berjanji untuk membentangkan Kertas Putih itu sebanyak enam kali, termasuk ketika dia berucap di perhimpunan bulanan Mindef pada 14 Okt, mengatakan Kertas Putih akan dibentangkan pada bulan Disember, jadi mari kita tunggu untuk melihat apakah Kertas Putih akan dibentangkan kali ini, " kata Hishammuddin dalam perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
"Dalam konteks aset pertahanan, ia akan mengambil masa dan pengganas tidak akan menunggu Kertas Putih kita," tambahnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Kertas Putih adalah satu dokumen yang menggariskan pelan Mindef 10 tahun tetapi kebimbangan yang lebih mendalam adalah rancangan Mindef untuk tahun 2020 itu sendiri.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, tidak ada inisiatif besar atau rancangan strategik untuk pertahanan negara atau untuk angkatan bersenjata dan veteran yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.
"Kita telah memberikan tempoh hampir dua tahun kepada kerajaan ini untuk serius memikirkan hala tuju Mindef, tetapi akhir-akhir ini kita melihat perancangan pembiayaan tidak berdasarkan realiti," kata Hishammuddin.
"Tahun lepas, kita mungkin memberi mereka ruang untuk membiasakan diri dengan urusan Mindef, tetapi kini hampir dua tahun jadi saya fikir sudah tiba masanya untuk mereka memimpin," katanya kepada wartawan kemudian, selepas berucap.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sebelum ini berkata Kertas Putih Pertahanan akan dibentangkan pada bulan Disember tahun ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai