Setiausaha Pemuda DAP bidas gesaan henti bantuan muzium 'Superman'
Pemimpin DAP saling berbalah berhubung isu komik berhubung Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China karya bekas ahli parti itu, Hew Kuan Yau atau dikenali sebagai 'Superman'.
Setiausaha Pemuda DAP Teh Hoong Kiet, dalam satu kenyataan hari ini, menuduh ahli jawatankuasa (AJK) DAP Johor Mahdzir Ibrahim, yang sebelum ini menggesa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP untuk menghentikan bantuan yang diberikan kepada Muzium Budaya Komik Asia (ACCM) ), yang menerbitkan komik Hew.
Teh berkata gesaan Mahdzir adalah pelik, kerana ACCM adalah muzium komik yang "profesional, terbuka, dan pelbagai" yang mempunyai pameran dalam empat bahasa yang berbeza.
"Motif Mahdzir untuk terus menyerang ACCM dan Hew diragui, ia kelihatan seperti seorang cybertrooper Umno yang menari dengan lagu Najib," katanya.
Teh menambah bahawa walaupun Mahdzir tidak bersetuju dengan Hew, dia tidak sepatutnya membidas Hew ketika bekas ahli DAP itu berdepan kritikan daripada pelbagai pihak lain.
Terdahulu, Mahdzir menyeru pemotongan dana ke ACCM sebagai jalan bagi DAP untuk menjauhkan diri dari komik berkenaan.
Mahdzir menggesa kepemimpinan DAP untuk menimbang semula semua bentuk bantuan kepada ACCM yang menerbitkan komik berkaitan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.
Mahdzir berkata, ia bagi membersihkan imej DAP yang teruk terjejas akibat kontroversi yang dicetuskan komik tersebut.
Ia juga bagi memberi peringatan kejas kepada mana-mana pihak yang cuba menggunakan nama kerajaan dan parti itu untuk tujuan politik dan peribadi, katanya lagi.
“Langkah ini perlu diambil memandangkan parti DAP tidak pernah memberi apa-apa mandat kepada Hew Kuan Yau untuk menerbitkan komik tersebut.
“Segala bantuan dalam apa jua bentuk sama ada subsidi sewaan atau lesen premis kepada Muzium Kebudayaan Komik Asia ini haruslah dikaji semula, dan satu tindakan tegas sama ada untuk menghentikan terus segala bantuan atau keistimewaan yang dinikmati oleh muzium ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berharap gesaan itu akan dipertimbangkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan kerajaan Pulau Pinang dengan segera.
Hew ialah kurator muzium berkenaan - yang terletak di Pulau Pinang - yang menghasilkan komik tersebut dengan kerjasama artis tempatan Chong Po Ling.
Hew mula dikenali dengan kelantangannya di pentas-pentas ceramah DAP tetapi telah keluar parti itu pada 2016. Beliau dilantik menjadi ketua pegawai ekskutif Majlis Perniagaan Bersama China-Malaysia (JBC) awal tahun ini.
Komik itu menjadi perhatian selepas bekas perdana menteri, Najib Razak, baru-baru ini mendakwa ada pihak menyebarkan propaganda DAP dan komunis di sekolah-sekolah.
Antara pihak lain yang membuat kritiktan termasuklah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), dan Pemuda Bersatu.
Sehari sebelumnya, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan kementeriannya pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya, dan memberi arahan agar buku itu diedarkan di sekolah.
Ia dikritik sejumlah 43 wakil rakyat dan pemimpin akar umbi DAP yang menyifatkan keputusan Maszlee itu sebagai mengikut rentak Najib.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata pemimpin DAP perlu memulihkan "maruah, imej dan keyakinan rakyat" terhadap parti itu yang dilihat lemah dalam menangani isu itu.
"DAP harus menguatkan PH, bukan sebaliknya dengan membiarkan puak-puak yang akhirnya 'sokong membawa rebah’.
"Jangan biarkan agenda parti yang murni ini dirampas oleh kumpulan mereka yang jahil dalam memahami naratif politik nasional.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penerbitan dan pengedaran komik itu, manakala polis juga mengesahkan telah mengambil keterangan pelukisnya.
Antara kandungan komik itu yang mengundang perasaan tidak puas hati ialah umat Islam yang bersimpati dengan nasib umat Islam Uighur di China sebagai radikal.
Semalam, Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata komik tersebut tidak mencerminkan pendirian DAP.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai