Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kilang proses sisa ayam didakwa cemarkan alam

Sebuah kilang memproses sisa ayam di Sungai Chandong, Pulau Indah di Klang didakwa mencemarkan alam sekitar serta menyebabkan wabak penyakit, kata NGO Gagasan Sosial Dinamik.

NGO itu mendakwa ini walaupun kilang tersebut telah dua kali disita Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak Mac lalu namun operasinya tidak terjejas.

Presiden Gagasan Sosial Dinamik, V Thiagarajen turut mendakwa kilang tersebut yang beroperasi hampir 10 tahun di kawasan perindustrian Sungai Chandong itu telah mengakibatkan pencemaran air kerana dikatakan membuang terus sisa kumbahan di parit kawasan sekitar.

"Bau busuk dan habuk yang dikeluarkan melalui proses sisa ayam menyebabkan pekerja-pekerja yang berkerja di sekitar kawasan tersebut menghadapi penyakit kulit dan kesesakan nafas.

"Hampir setiap minggu ada pekerja yang bekerja di sekitar kawasan ini menghadapi penyakit kulit, asma atau kesesakan nafas dan menerima rawatan di hospital," katanya kepada pemberita selepas membawa media melawat kilang tersebut di Klang, hari ini.

Jelas Thiagarajen, NGO yang diwakilinya telah menerima banyak aduan daripada pekerja yang berkerja di kawasan itu.

"Kami terima banyak laporan. Kami juga mendapati bahawa pemilik kilang-kilang lain yang beroperasi sebelah kilang haram sisa ayam itu (juga telah) membuat aduan di MPK, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya mendapati kilang disita sebanyak dua kali pada Mac dan 2 Oktober tahun ini. Namun, mereka masih beroperasi. Kami nak kali ini, MPK mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kilang," katanya lagi.

Tinjauan Malaysiakini pagi tadi mendapati pita kuning MPK merentasi kawasan kilang serta terdapat notis penutupan kilang yang ditampal di pintu depan.

Bagaimanapun, kelihatan terdapat pekerja di dalam kilang itu.

Sekitar kilang itu juga berbau busuk dan keadaan parit sekelilingnya juga kotor.

Wartawan Malaysiakini juga bertanya kepada seorang pemandu lori yang bekerja di kawasan perindustrian tersebut.

"Isu ini memang lama. Ada banyak aduan. MPK ada ambil tindakan. Tapi, masih operasi. Saya pun tak tahu macam mana?"

"Kadang kala, ketika mereka menghancur sisa ayam menggunakan mesin, bau dan habuk boleh terasa sampai 50 meter. Sampai ada yang muntah kerana bau busuk yang kuat," katanya yang enggan mendedahkan identiti dirinya.

Malaysiakini telah menghubungi MPK bagi mendapatkan penjelasan lanjut.