Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Husam: Ikut perjanjian, tiada istilah wang ihsan atau royalti

Sebagai individu terawal dan sekian lama memperjuangkan hasil pengeluaran petroleum untuk Kelantan, Senator Husam Musa tampil menjelaskan isu berkaitan wang ihsan dan royalti.

Pengerusi PH Kelantan itu berkata, mengikut perjanjian kerajaan Kelantan dan Petronas pada tahun 1975, tiada istilah wang ihsan atau royalti diungkapkan dalam perjanjian itu.

Sebaliknya kata bekas exco kanan Kelantan itu, apa yang termaktub adalah “bayaran tunai”.

"Suka saya bangkitkan dalam perjanjian tidak ada perkataan royalti disebut, tidak ada perkataan wang ihsan disebut.

"Saya berharap pemimpin PAS bertenang dan berfikir secara waras. Yang ada dalam perjanjian adalah 'wang tunai dibayar'.

"Nama itu tak kisah, yang penting asal ada bayaran tunai daripada pengeluaran minyak (kepada kerajaan negeri)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Koperasi Padi Wangi negeri Kelantan di Pasir Puteh, hari ini.

Terdahulu isu hasil minyak kepada Kelantan menjadi pertikaian selepas Menteri Besar, Ahmad Yakon menegaskan kerajaan negeri belum menerima sebarang bayaran.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula menjelaskan bayaran tersebut sudah dibuat dan pada tahun ini berjumlah lebih RM28 juta.

Lim berkata, pembayaran yang dibuat kepada Kelantan pada tahun ini berasaskan hasil lima peratus daripada pengeluaran minyak seperti yang dituntut sebelum ini.

Sementara itu Husam yang juga naib presiden Amanah berkata, Kelantan mempunyai empat kawasan telaga minyak dan hanya satu kawasan sahaja tidak bertindih dengan pihak lain.

Kelantan katanya, mempunyai tiga kawasan bertindih yang dipertikaikan dan belum ada keputusan muktamad mengenainya.

"Yang tak ada pertikaian hanya satu kawasan, perkara ini pernah dijawab oleh bekas perdana menteri Najib Razak di Parlimen pada 2010. Iaitu pengeluaran minyak di kawasan Bumi Selatan.

"Pada masa itu bayaran untuk Petronas hanya RM89 juta," katanya.

Tambah Husam, bagi tiga kawasan telaga yang menjadi pertikaian itu juga wajar dibayar kepada kerajaan Kelantan.

"Kerana itu juga hak Kelantan, tetapi apabila kerajaan pusat membuat bayaran secara tunai tuntutan Kelantan diakui, maka pimpinan kerajaan negeri harus guna kesempatan ini secara berhemah dan bijaksana berjumpalah dengan perdana menteri, menteri kewangan dan jumpalah Petronas.

"Berbincanglah secara baik, kerana tatasusila Orang Melayu bila orang berbudi kita kenalah berbahasa. Sekarang dengan sumpah seranah yang dilemparkan kerana masalah istilah menunjukkan kekurangan budi bahasa.

"Tetapi apa yang penting wang RM28 juta yang dibayar oleh kerajaan pusat ini, apakah perancangan kerajaan negeri untuk faedah rakyat Kelantan? Walaupun jumlahnya hanya RM28 juta. Itu bukan boleh guna sewenang-wenangnya," katanya.