Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kes Isa Samad: Pembelian hotel oleh FIC tak ikut mandat Felda, kata saksi

Mahkamah diberitahu bahawa pembelian hotel Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) tidak mendapat mandat Felda yang menetapkan sebarang pelaburan RM100 juta ke atas perlu diangkat ke mesyuarat ahli lembaga pengarah Felda untuk kelulusan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil memberitahu bahawa pengambilalihan hotel itu oleh FIC yang berharga RM160 juta tidak mendapat kelulusan daripada lembaga pengarah Felda.

Ini kerana, katanya, pengerusi Felda ketika itu, Isa Samad memaklumkan kepada FIC bahawa urusan berkenaan tidak perlu dibawa kepada lembaga pengarah Felda. 

"Memang tidak mengikut mandat Felda. Sebagai Ceo FIC mana-mana keputusan lembaga pengarah FIC saya akan buat," katanya ketika ditanya adakah pembelian hotel di Kuching mengikut mandat Felda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz meminta Mohd Zaid menjelaskan adakah pembelian hotel oleh FIC tidak mengikut mandat Felda.

Bagaimanapun, Mohd Zaid berkata bahawa keputusan pengurusan FIC menandatangan perjanjian jual dan beli, membuat bayaran kepada pemilik hotel (Gegasan Abadi Properties) selaras dengan keputusan dan kelulusan lembaga pengarah FIC.

Beliau turut mengesahkan bahawa tiada laporan dibuat oleh pengurusan FIC atau ahli lembaga FIC.

"Pada saya (tidak buat laporan) apa yang diputuskan dan kelulusan diberikan oleh lembaga. Jadi tiada kesalahan pembelian hotel ini diperingkat FIC. Saya tidak tahu pasal ahli lembaga atau pihak pengurusan yang lain," tambahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Afzainizam yang bertanya kenapa pihak lembaga pengarah FIC atau pengurusan FIC tidak membuat laporan kepada pihak yang wajib selepas mendapati pembelian hotel itu tidak mengikut mandat Felda.

Mohd Zaid merupakan saksi ke-15 dalam perbicaraan salah guna kuasa dan menerima rasuah oleh Isa, yang merupakan bekas pengerusi Felda.

Terdahulu, Isa mengaku tidak bersalah atas kes yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta.

Sementara itu, Mohd Zaid memberitahu bahawa pembelian hotel di Kuching tidak dilaporkan dalam mesyuarat bersama lembaga pengarah Felda pada 1 Disember 2014.

"Saya dijemput atas kapasiti jemputan. Saya memaklumkan laporan aktiviti kemajuan FIC," katanya.

"Saya tidak melaporkan pembelian hotel MPHS kerana mesyuarat tersebut untuk memaklumkan aktiviti kemajuan FIC bukan untuk mendapatkan kelulusan pengambilalihan MPHS," jelasnya.

Terdahulu, Afzainizam bertanya Mohd Zaid kenapa beliau tidak mendapatkan kelulusan pembelian hotel yang berharga RM160 juta itu di mesyuarat berkenaan.