Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kadar parkir di kawasan elit George Town mungkin naik

Kerajaan Pulau Pinang sedang menimbang kemungkinan menaikkan kadar parkir di kawasan-kawasan elit atau di lokasi tanah bernilai tinggi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini berkata pertimbangan itu dibuat sebagai salah satu kaedah untuk menambah baik aliran trafik di bandar raya George Town, seperti disarankan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB).

Beliau berkata menurut perunding ADB, kadar letak kereta yang tinggi akan mengurangkan tempoh waktu pengguna memandu kerana mereka akan terus mencari tempat letak kereta di kompleks-kompleks letak kereta berbayar berbanding tercari-cari tempat letak kereta tepi jalan raya yang murah.

“Lebih penting lagi tempat letak kereta yang tinggi akan mengurangkan orang ramai memandu di George Town, dan pada masa yang sama meningkatkan minat orang ramai untuk memilih perkhidmatan bas-bas Central Area Transit (CAT) yang sedia ada,” katanya dalam majlis sesi dialog Tilting The Balance From Private To Public Transportation hari ini.

Menurut Chow, kerajaan negeri membelanjakan RM17 juta setiap tahun sebagai peruntukan perkhidmatan bas percuma dan bas subsidi namun usaha itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Katanya kerajaan negeri turut mengkaji cadangan untuk menamatkan 12 laluan bas percuma kerana menerima kadar penumpang yang amat rendah dan mengalihkan perkhidmatan itu di kawasan-kawasan yang lebih memerlukan.

Katanya 10,000 kenderaan persendirian baru didaftarkan di Pulau Pinang setiap tiga atau empat bulan dan keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara yang semakin teruk.

"Menerusi inisiatif Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) kerajaan negeri meletakkan sasaran kewujudan 40 peratus pengangkutan awam, dan 60 peratus bagi kenderaan swasta," katanya.

- Bernama