Debat Piala Tun Razak: Tak salah tapi tak sesuai
Usul-usul yang dipilih untuk peserta debat Piala Tun Razak baru-baru ini - secara teknikal - sebenarnya boleh dibahaskan tetapi ia mungkin tidak sesuai apabila membabitkan pelajar sekolah menengah rendah.
Menurut jurulatih debat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Irham Ibrahim, usul yang dicadangkan penganjur itu boleh dibahaskan kerana kerana debat terbahagi kepada dua cabang iaitu harfiah (literal) dan konseptual.
Katanya apabila diberikan sesuatu tajuk, terpulang kepada pendebat terbabit untuk mendefinisikan isu dan usul yang akan dibawa.
Namun katanya apabila isu sensitif seperti yang berlaku baru-baru ini dianggap tidak sesuai untuk dibahaskan oleh pendebat yang masih muda.
"Ia boleh dianggap keterlaluan dan melampau," katanya kepada Malaysiakini semalam.
Beberapa pihak menyuarakan rasa tidak puas hati kepada penganjur debat Piala Tun Razak 2019 apabila mereka memilih topik yang dianggap sensitif kepada Islam sebagai tajuk.
Antaranya ialah kewajaran al-Quran ditulis semula, serta pandangan mereka terhadap amalan homoseksual.
Antara pihak yang membantah keras tajuk itu ialah Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia.
Tahu sesuai atau tidak
Debat bahasa Inggeris membabitkan pelajar tingkatan satu hingga tiga itu diadakan di Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR) di Seremban, Negeri Sembilan pada 14 Okt lalu.
Semalam Kementerian Pendidikan memaklumkan mereka sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap penganjur debat tersebut dan menamakan dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Disoal mengenai tindakan masyarakat yang memahami tajuk debat itu dari sudut harfiah, Irham berkata, ia tidak boleh dihalang kerana pentafsiran setiap individu berbeza-beza.
“Dalam perdebatan, peserta yang diberikan sesuatu usul boleh membahaskan mengikut bagaimana ia ditafsirkan, tetapi orang awam pula mungkin melihatnya dari sudut berbeza dan ia nampak tidak relevan," katanya.
Perunding pengucapan awam merangkap alumni debat institusi pengajian tinggi (IPT), Afzal Syazwan Zulkifli, berkata usul debat sebegitu tidak sesuai dibuat di peringkat sekolah menengah rendah kerana pendebat mungkin belum benar-benar bersedia membahaskannya.
“Debat ini menguji pelbagai isu. Kita kena tahu dulu tajuk itu sesuai ataupun tidak untuk didebatkan di peringkat itu (sekolah menengah rendah),” katanya yang pernah menyertai pertandingan Debat Piala Diraja 2015 di Universiti Malaysia Pahang.
Disoal mengenai pemahaman masyarakat yang mengambil maksud usul itu tidak secara mendalam, Afzal mencadangkan orang ramai menyaksikan program-program debat, berbincang dan menganalisis sesuatu isu secara bersama.
“Datanglah saksikan debat, kita berbincang bersama. Kita tengok macam mana usul itu dibawakan dan bagaimana cara untuk melawan balik sesuatu hujah," katanya.
Afzal juga berharap orang ramai yang mungkin kurang memahami disiplin perdebatan segera menghentikan spekulasi masing-masing sehingga menyebabkan banyak perkara yang tidak benar menjadi tular.
Lihat bagaimana isu dibahas
Dia yang turut hadir semasa pertandingan debat itu berlangsung di SDAR berkata, sebahagian daripada maklumat yang ditularkan ketika ini sebenarnya tidak tepat seperti apa yang terjadi pada hari kejadian.
Seorang alumni Debat Piala Diraja 2010 yang enggan dinamakan berkata, dia berpendapat masyarakat Melayu memang mudah melatah tanpa memahami sesuatu isu.
“Kita - terutama Melayu - memang mudah melatah, tapi kita perlu bertanya: kita melatah sebab kita ada ilmu, ataupun kita melatah sebab benda ni kita rasa kita saja yang betul,” katanya.
Baca Juri Piala Tun Razak jawab kritikan isu tajuk debat
Cuma, menurut kakitangan perkhidmatan awam itu lagi, usul yang dibawa semasa debat itu dilihat begitu serius kerana perlu dibahaskan oleh pelajar.
“Kalau ada usul begini dibawa di peringkat perbahasan sekolah, ia tidak sesuai kerana pemikiran kritikal dan analitikal mereka belum lagi mencapai tahap lebih matang, seperti penuntut universiti,” katanya.
Dia menyifatkan usul pertandingan tersebut bersifat hipotesis dan bertujuan untuk memberikan kefahaman lebih jelas kepada orang ramai.
Sementara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur debat tersebut, mereka menjelaskan pertandingan itu dikategorikan sebagai hypothetical motion.
Justeru, kata penganjut, pendebat perlu membayangkan sebuah dunia imaginasi – bahawa Muslim boleh menulis semula kitab suci sama seperti agama lain – namun menegaskan, dalam kehidupan sebenar, tidak ada sesiapa yang berkuasa menulis semula al-Quran.
“Usul itu peranannya hanya sebagai subjek. Untuk menentukan sama ada usul itu diterima ataupun tidak, kita akan melihat kepada macam mana pendebat menganalisis usul tersebut.
“Kalau analisisnya salah, kita (juri) katakan analisisnya salah,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai