Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anwar selar sarjana bercakap soal Melayu tapi ‘jilat rasuah’

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menempelak sarjana yang kuat menjerit soal Melayu, namun hakikatnya "penjilat kepada perasuah".

Sebaliknya Anwar mendakwa sarjana ini hanya mendiamkan diri dalam isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pencabulan undang-undang.

"Yang kuat menjerit soal Melayu sekarang adalah di antara sarjana yang menjadi penjilat kepada golongan perasuah dan tidak adil.

"Diam membisu bila (isu) rasuah dan kezaliman, bila hukum (undang-undang) negara itu ditekan," katanya berucap.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Sejarah Negara 2019 di Bangi, petang ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua (TYT) Negeri Melaka, Dr Mohd Khalil Yaakob.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman bagi mencapai kepentingan tertentu.

Katanya, apa yang terkandung dalam kontrak sosial dan telah dipersetujui bersama perlu dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata, untuk memupuk negara bangsa ia tidak seharusnya dihangatkan dengan suhu politik yang menjurus kepada perkauman.

"Memupuk negara bangsa bukan dengan meningkatkan suhu politik bahawa kitalah pejuang Melayu.

"Membina negara bangsa mestilah dengan dasar etika yang jelas. Ramai orang Melayu tunjuk kebencian kepada kaum lain, tapi zalim kepada kaum sendiri," katanya.