Isu Forest City tak sama dengan pemilikan rumah RM600,000
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tawaran pembelian rumah berharga RM600,000 ke atas untuk warga asing berbeza situasinya berbanding projek Forest City di Johor.
Hal itu kerana, kata beliau, pembangunan hartanah di Forest City merupakan projek sangat mewah dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
“Yang ini (harga rumah RM600,000 kepada warga asing), rakyat Malaysia (masih) mampu beli, tetapi memandangkan tidak ramai rakyat Malaysia yang membelinya, terdapat lambakan hartanah dan kita perlu menjualnya kerana kalau tidak pemaju akan dapat masalah,” katanya.
Perdana menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa 2019 dan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Mahathir ditanya mengenai sikapnya yang lantang membantah penjualan hartanah di Forest City kepada warga asing tetapi berpendirian sebaliknya berhubung Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada minggu lalu.
Beliau turut diminta mengulas pendiriannya terhadap hartanah di Forest City.
“Saya lantang kerana pembangunan di Johor, (kerana) hartanah di sana adalah milik kekal dan kemudian ia merupakan hartanah yang sangat mewah dibangunkan untuk warga asing yang mampu membelinya.
“Yang ini (hartanah RM600,000 ke atas) bukan untuk warga asing yang mampu membelinya (saja).
"Terdapat orang ramai yang tidak begitu kaya tetapi mereka mahukan rumah - flat di sini, mereka boleh beli flat dan apartmen dengan harga yang lebih murah,” katanya.
Sebelum PH menawan Putrajaya daripada BN, Mahathir lantang mengkiritk projek pembangunan Forest City - sewaktu pentadbiran BN - yang menarik ramai pembeli dari China.
Semasa membentangkan Belanjawan 2020 11 Okt lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pengurangan nilai minimum bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar untuk dibeli warga asing, daripada RM1 juta kepada RM600,000.
Lim dalam satu kenyataan pada 13 Okt, turut berkata penurunan had harga itu hanya terpakai kepada unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang masih tidak terjual.
Ia juga hanya berkuatkuasa selama setahun iaitu dari 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020, katanya.
Mengulas lanjut, Mahathir menjelaskan, langkah tersebut dilakukan untuk mengelakkan negara menghadapi krisis nasional sekiranya terdapat lambakan hartanah di negara, seperti dihadapi di Hong Kong dan Tokyo, Jepun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai