Berkongsi keajaiban angkasa dengan kanak-kanak istimewa
Bagaimanakah rasanya berada di langit dan angkasa? Dan bagaimanakah untuk menggambarkan keajaiban tersebut kepada mereka yang kurang upaya penglihatan?
Ini antara cabaran yang dihadapi pengendali Apadilangit, sebuah program yang membantu kanak-kanak, termasuk kanak-kanak istimewa, mengenali sains astronomi.
“Kita patut membantu mereka kerana mereka tidak mempunyai deria yang sama macam kita.
“Deria seperti kekurangan penglihatan dan pendengaran adalah salah satunya kenapa kami perlu mengajar mereka bagaimana sebenarnya rupa bentuk alam yang dicipta tuhan,” kata pengasas Apadilangit Muhammad Hafez Ahmat Murtaza.
Bagi kanak-kanak OKU penglihatan, pasukan Apadilangit menggunakan beberapa teknik untuk memperkenalkan sains astronomi melalui deria sentuh.
"Kami guna model 3D seperti model bumi, bulan dan roket untuk mereka rasa bentuknya serta melalui tulisan Braille dan rajah tumbuh.
"Rajah tumbuh ini adalah gambar atau ilustrasi yang timbul atas kertas dan pelajar akan sentuh kertas itu," kata Muhammad Hafez (gambar di bawah).
Ilham dari Jepun
Muhammad Hafez mengasaskan Apadilangit pada tahun 2016 untuk berkongsi minatnya dalam sains astronomi.
Beliau juga telah menjalankan latihan di International Training Centre of Astronomy di bawah Unesco.
Pada awalnya, kumpulan tersebut menjalankan program dengan kanak-kanak tadika untuk menggalakkan minat anak-anak kecil dalam bidang itu.
Beliau mendapat ilham untuk memperkembangkan program tersebut kepada kanak-kanak OKU selepas menghadiri sebuah konvensyen berkenaan astronomi untuk orang awam, di Jepun pada tahun 2018.
“Di Jepun, mereka mendekati golongan OKU ini dengan kaedah yang sangat menarik. Mereka menggunakan semua deria manusia untuk mendekatkan (golongan OKU). Dari pendengaran, penglihatan, sampailah ke bau dan rasa,” jelas Muhammad Hafez.
Kumpulan Apadilangit cuba mendekati golongan OKU melalui sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur. Di situ, mereka bertemu seorang guru, Wan Suhaimi Wan Mohd Zawil (gambar di atas), yang memperkenalkan pelajarnya ke program Apadilangit.
Dari situ mereka mengembangkan program ke sekolah-sekolah khas lain, termasuklah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Seremban (untuk OKU penglihatan dan pendengaran) dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel di Kuala Lumpur.
"Pelajar-pelajar dan Cikgu Suhaimi amat teruja dengan teknik yang kami gunakan. Kami sangat gembira, kerana tidak ramai yang tahu tentang astronomi ini," katanya.
Cabaran menggunakan bahasa isyarat
Mengajar pelajar-pelajar OKU mempunyai cabaran untuk pasukan Apadilangit yang tidak dilatih dalam bahasa isyarat, contohnya.
“Setakat ini, cara kami gunakan ialah merujuk kepada apa kod-kod yang ada dalam kamus Bahasa Melayu, kamus kod tangan, dan juga mengkajinya dari antarabangsa,” kata Muhammad Hafez.
Antara program yang dikendalikan sebelum ini termasuk program '“Pengenalan Angkasa”, selepas itu “Bintang, Burung dan Planet”, dan ada juga tentang fenomena yang berlaku seperti gerhana matahari.
Program-program terbuka untuk semua kanak-kanak, bukan sahaja OKU.
Pada awal Oktober, mereka menganjurkan Minggu Angkasa Dunia dan akan datang, Kem Angkasa Celik yang dianjurkan pada setiap dua minggu di planetarium untuk pelajar sekolah rendah.
Beliau berharap Apadilangit dapat berkembang lagi dan menarik lebih ramai peserta dari pelbagai latar belakang.
"Jika program kami akan mendapat sambutan yang baik, kami akan meluaskan cabang kami kepada sekolah menengah dan seterusnya kepada orang-orang dewasa,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai