Turun had harga rumah warga asing, PH nak lelong negara - Ismail Sabri
PARLIMEN | Kerajaan ini melelong negara dengan menurunkan had harga pangsapuri dan kondominium di kawasan bandar untuk warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000, kata Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob.
Ketika perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, Ismail (BN-Bera) menggunakan kritikan sama yang pernah dilontarkan Pakatan Harapan (PH) kepada pentadbiran BN berhubung projek kontroversi Forest City di Johor, yang menarik pembeli dari China.
"Dulu wakil rakyat PH bergambar di depan Forest City dan kata ia lambang (kerajaan ketika itu) menjual negara kepada China.
"Hari ini siapa yang jual negara? U-turn seperti ini menunjukkan yang lelong negara kita hari ini ialah PH," katanya.
Ismail berkata, perumahan adalah isu paling besar yang dihadapi rakyat Malaysia dan kerajaan sepatutnya membantu golongan miskin untuk membeli rumah.
Katanya lagi, langkah kerajaan untuk menurunkan had harga itu boleh menyebabkan syarikat pemaju menaikkan harga pangsapuri dan kondominium untuk dijual kepada warga asing.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata warga asing yang membeli pangsapuri dan kondominium di Malaysia tidak akan diberikan kewarganegaraan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pula berkata cadangan itu bukan datang dari kementeriannya, tetapi dari Kementerian Kewangan.
Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang membuat celahan bertanya sama ada Lim membuat keputusan itu secara sendiri dan tanpa berbincang dengan kabinet.
"Belanjawan ini nampaknya terang-terang didominasi oleh menteri kewangan tanpa ambil kira pandangan menteri lain...Kalau dasar ini dibuat, maknanya nikmat hanya diperolehi oleh satu kaum. Saya bukan rasis tetapi ini jelas," katanya lagi.
Dalam satu kenyataan semalam, Lim berkata penurunan had harga itu hanya terpakai kepada unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang masih tidak terjual.
Ia juga hanya berkuatkuasa selama setahun iaitu dari 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020, katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai