Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kula kaitkan tuduhan DAP sokong LLTE dengan PRK Tg Piai

Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran mengaitkan dakwaan yang mengatakan DAP menyokong Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

"Parti saya, DAP telah dilontarkan lagi dengan tuduhan yang sama ketika pilihan raya kecil semakin dekat," katanya dalam kenyataan malam ini.

Pada Khamis, polis menahan tujuh individu termasuk Exco Kerajaan Negeri Melaka G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran, kerana didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Khas (Langkah-Langkah Keselamatan) (Sosma). Lima lagi ditahan hari ini menjadikan jumlahnya seramai 12 orang.

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai akan diadakan tiga minggu dari sekarang, iaitu pada 2 November, dengan hari mengundi pada 16 November.

Tanjung Piai secara tradisi kerusi DAP, tetapi ditanding oleh Bersatu pada PRU ke-14. PRK ini dianggap sebagai pertembungan yang sengit selepas kerusi hanya dimenangi oleh PH dengan majoriti 524 undi sahaja.

Sementara itu Kulasegaran yang juga Menteri Sumber Manusia menafikan dakwaan bahawa dia mempunyai kaitan dengan LTTE dan menggesa polis untuk menyiasat "berita palsu" tersebut.

"Bukit Aman telah mengambil tindakan menentang penyebaran berita palsu dan perlu berbuat demikian dalam perkara ini," katanya.

Tambahnya, polis boleh segera mendakwa Saminathan dan Gunasekaran sekiranya mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan ke atas mereka.

Buat masa ini, kedua-dua pemimpin DAP itu ditahan di bawah Sosma yang membenarkan penahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Kulasegaran melawat keluarga dua Adun itu hari ini, dan memberitahu bahawa DAP akan membuat yang terbaik untuk membebaskan pemimpin berkenaan secepat mungkin.

Kulasegaran telah ditugaskan oleh pucuk pimpinan parti berurus dengan pihak berkuasa, ahli undang-undang dan anggota keluarga mengenai isu berkenaan.