Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tempat baru ambil penumpang e-hailing di KLIA, KLIA2

Malaysia Airports Holdings Bhd menyediakan tempat baru untuk perkhidmatan e-hailing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, berkuat kuasa hari ini.

Kawasan baru untuk khidmat e-hailing di Terminal KLIA ditetapkan di Pintu 3 dan 4, Aras 1 Bangunan Terminal Utama (MTB) KLIA dan Pintu 5, Aras 1 Hab Pengangkutan di KLIA2.

Pemandu e-hailing sebelum ini mengambil penumpang di Aras 3 balai ketibaan di KLIA dan Aras 2 balai ketibaan di klia2, kata Malaysia Airports dalam kenyataan.

Dua tempat itu sudah dinaik taraf dengan kemudahan menunggu yang selesa untuk penumpang, katanya.

Inisiatif baharu oleh pengendali lapangan terbang itu dengan bantuan agensi kerajaan yang berkaitan, bertujuan menambah baik aliran trafik selain memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih sistematik di lapangan terbang.

Malaysia Airports menyediakan kawasan menunggu secara percuma untuk pemandu e-hailing di pejabat Operasi Landside yang hanya lima minit dari terminal sebelum mengambil penumpang mereka.

"Pemandu diingatkan bahawa penalti RM10 akan dikenakan jika mereka masih berada di lorong mengambil penumpang lebih dari lima minit, dan penalti tambahan sebanyak RM10 akan dikenakan sekiranya pemandu terus menunggu untuk tempoh lima minit seterusnya," katanya.

- Bernama