Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Peras ugut pengurus projek binaan di Brickfields ada unsur gangster - Polis

Polis tidak menolak kemungkinan kes pemerasan wang terhadap seorang pengurus sebuah projek pembinaan di Brickfields, pada 7 Oktober lepas, mempunyai unsur gangsterisme.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata ini berikutan modus operandi yang dilakukan empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu, mirip dengan kumpulan gangster tertentu.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata kertas siasatan sedang disiapkan dan kes itu akan dirujuk kepada pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini melibatkan seorang pegawai polis bersama tiga suspek yang lain dilapor melakukan pemerasan wang terhadap seorang pengurus sebuah projek pembinaan.

“Setakat ini tiga suspek termasuk pegawai polis telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang lagi masih direman membantu siasatan kes ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum SMK Cheras, di Kuala Lumpur.

Pada 7 Okt lepas, keempat-empat suspek berusia lingkungan 30-an itu cuba memeras pengurus sebuah projek pembinanaan di kawasan Brickfields.

Suspek cuba meminta bayaran sebagai upah untuk melindungi kawasan tapak pembinaan daripada gangguan kumpulan gangster.

- Bernama