Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Penahanan atas dakwaan ada kaitan LTTE di luar pemahaman'

Pemimpin berbangsa India Pakatan Harapan (PH) mengkritik penangkapan tujuh individu, termasuk dua Adun DAP yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak di Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam satu kenyataan bersama 16 pemimpin India dari DAP dan PKR, mereka menyifatkan penangkapan itu adalah "di luar pemahaman" dan menggesa pembebasan individu yang ditahan.

Memberi contoh orang Muslim di Malaysia yang simpati terhadap rakyat Palestin dan Rohingya, mereka berkata, bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya sesetengah pihak dalam masyarakat Tamil bersimpati dan bimbang dengan keadaan warga Tamil di Sri Lanka.

"Bukan sesuatu yang luar biasa bagi NGO Tamil mengadakan program untuk menunjukkan penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam perang saudara. Dalam majlis ini, nyanyian dan doa dibuat.

"Kenapa dua Adun dan lima individu lain ini ditahan di bawah Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) adalah di luar pemahaman," katanya.

Mereka menambah bahawa penggunaan Sosma, yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan, tidak seharusnya berlaku di bawah kerajaan PH.

"Sangat tidak bertanggungjawab untuk menahan dan mendakwa mereka apabila mereka tiada hubungan dengan LTTE. Tanggapan tentang kebangkitan semula LTTE tidak masuk akal dalam konteks Malaysia.

"Kami menggesa kerajaan untuk segera melepaskan mereka yang ditangkap tanpa sebarang syarat.

"Penangkapan ini hanyalah pencerobohan terhadap keadilan. Penangkapan dan penahanan sedemikian tidak boleh dibenarkan di bawah kerajaan PH," kata mereka.

Pemimpin PH yang mengeluarkan kenyataan media bersama itu ialah: P Ramasamy (Timbalan Ketua Menter II Pulau Pinang), V Ganabatirau (Exco Selangor), DR Kamache (Adun Sabai), B Sivakumar (Ahli Parlimen Batu Gajah MP), M Satees (Ahli Parlimen Bagan Dalam), R Rajiv (Adun Bukit Gasing), RSN Rayer (Ahli Parlimen Jelutong), Kasthuri Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan), A Kumaresan (Adun Batu Uban), R Suresh Singh (Senator), R Sivarasa (timbalan menteri), P Prabakaran (Ahli Parlimen Batu MP), Gunaraj George (Adun Sentosa), S Ramakrishnan (Exco Johor), Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor), Charles Santiago (Ahli Parlimen Klang).

Media hari ini melaporkan polis menahan tujuh individu, termasuk dua Adun dari Melaka dan Negeri Sembilan, atas dakwaan terlibat dengan kumpulan LTTE.