Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tolonglah Umno... letaklah calon di Tanjung Piai, kata Dr M

Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad hari ini 'merayu' kepada gabungan pembangkang agar mereka meletakkan calon daripada Umno untuk cuba merebut kerusi parlimen dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai pada bulan depan.

Dalam nada bergurau, beliau berkata, dengan berdepan cabaran Umno dalam PRK tersebut, kemungkinan untuk PH mengekalkan kerusi berkenaan menjadi lebih cerah.

Justeru, kata Mahathir, PH perlu "bergantung" kepada pihak pembangkang untuk menang sekali lagi di Tanjung Piai.

"Banyak masalah di situ... kita (PH) berpendapat kita bergantung kepada parti lawan untuk menang.

"Kita minta supaya mereka letak calon daripada Umno.

"Tolonglah... supaya kita (PH) boleh menang," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

PRK Tanjung Piai perlu diadakan susulan kematian mengejut penyandangnya, Dr Mohd Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 Sept.

Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi milik MCA. Pemimpin parti itu, Wee Jeck Seng, memenangi kerusi berkenaan sejak PRU ke-11 pada 2004 sehinggalah beliau kalah kepada Allahyarham Mohd Farid pada tahun lalu.

Ada beza pandangan

PH bakal berdepan dengan gabungan pembangkang - yang turut disertai PAS - dalam PRK pada 16 Nov ini. Proses penamaan calon akan berlangsung pada 2 Nov.

Pembangkang belum mengumumkan calon yan akan dipertaruhkan di situ namun pemimpin Umno membayangkan mereka mahu MCA menyerahkan kerusi tersebut kepada parti Melayu berkenaan.

Menurut Mahathir, di pihak PH, mereka akan mengekalkan calon daripada Bersatu untuk bertanding tetapi belum diputuskan individu yang akan menggalas tanggungjawab tersebut.

 

Sementara itu, perdana menteri juga berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan panjang lebar isu Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

"Terdapat berbeza-beza (pandangan) dalam kalangan kita, dan sedikit perubahan dalam bajet ini dicadangkan.

"Diharap Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) mengambil kira pandangan ini dan membuat pengumuman dalam ucapan nanti," katanya.

Namun, beliau enggan mendedahkan perubahan yang dibincangkan itu.

Antara pemimpin PH yang hadir hari ini ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.