Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Walau Bersatu melukut di tepi gantang tapi ada garangnya' - Hadi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memuji parti Bersatu pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana berjaya menunjukkan pengaruh mereka di dalam Pakatan Harapan.

Beliau menyifatkan penyampaian amanat perdana menteri dalam Kongres Maruah Melayu pada Ahad lalu melambangkan kuasa yang dimiliki oleh satu-satunya parti Melayu dalam pakatan itu.

"Kongres Maruah Melayu, anjuran para ilmuwan beberapa universiti, disertakan ucapan Dr Mahathir mewakili satu-satunya parti Melayu dalam kerajaan PH.

"Walaupun dianggap seperti melukut di tepi gantang, tetapi ada garangnya," katanya dalam tulisan berjudul "Amanat muhasabah bangsa" terbit di Harakahdaily hari ini.

Bersatu pada PRU14 lalu menang 14 kerusi parlimen daripada sejumlah 117 kerusi parlimen yang dimenangi PH dengan PKR menjadi parti majoriti dalam gabungan parti pemerintah itu apabila mendapat 50 kerusi.

Abdul Hadi pada hari ini juga menjelaskan sebab di sebalik penyertaan PAS dalam Himpunan Muafakat Nasional, anjuran PAS dan Umno baru-baru ini serta Kongres Maruah Melayu.

"Walaupun dua pertemuan itu kelihatan berlainan dan tempatnya pula bebeza, tetapi sebenarnya satu sahaja titik pertemuan iaitu perpaduan bangsa Melayu dan menyedarkan Melayu bangkit bersama Islam.

"Sekurang-kurangnya PAS dapat merealisasikan konsep taawun yang dipraktikkan dalam konsep budaya politik matang dan sejahtera yang diperkenalkan oleh PAS," katanya.

Menurut presiden PAS, beliau bersikap terbuka mendengar ucapan pihak lain yang juga Melayu Islam kerana "muhasabah diri wajib dilakukan, walaupun adanya kritikan yang keras dan pahit."

Abdul Hadi berkata beliau mendengar dengan teliti ucapan perdana menteri pada majlis tersebut.

"Saya mendengar amanat Tun Mahathir dengan teliti dan agak berbeza dengan kalangan yang menunggu kecaman beliau terhadap bangsa lain yang menjadi saingan kita dalam masyarakat majmuk.

"Tiba-tiba ucapan beliau menyebut kesilapan bangsanya sendiri yang menjadi sebab mereka mundur ketinggalan, tercorot dan diperbodohkan oleh pihak lain dan diperbodohkan oleh bangsanya sendiri sehingga terkebelakang," jelasnya.

Dr Mahathir ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu antaranya berkata kerajaan dengan sendirinya walaupun dipimpin oleh Melayu, tidak boleh memulihkan maruah Melayu sekiranya kaum itu tidak mahu berusaha untuk mengubah nasib mereka.

Katanya, maruah Melayu dipandang hina atas kesalahan mereka sendiri.

"Jangan minta orang lain lakukan sesuatu untuk memulihkan maruah kita. Melayu sendiri kena pulihkan maruah Melayu,” jelasnya.

Beliau juga turut melahirkan kekecewaan kerana orang Melayu gagal untuk merapatkan jurang pendapatan dengan kaum lain walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Pada satu masa apabila kita wujudkan peluang, peluang dipindah, wujud AP (permit import), AP pun pun dijual, wujud kontrak, kontrak dijual…bolehkah kita jadi kaya hanya dengan kita jual lesen yang kita dapat,” katanya lagi.

Kongres Maruah Melayu diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam semalam dan disertai kira-kira 5,000 hadirin.

Empat institusi pengajian tinggi awam, Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) membentuk gabungan bagi menjayakan kongres tersebut.