Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ops potong bekalan air bil tertunggak di Negeri Sembilan mulai 1 Nov

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) akan melaksanakan tindakan pemotongan bekalan air besar-besaran secara menyeluruh di Negeri Sembilan, ke atas akaun yang mempunyai tunggakan, berkuatkuasa 1 November ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail berkata secara keseluruhan nilai akaun tertunggak yang dicatatkan SAINS sehingga September tahun ini melebihi RM9.6 juta, bagi keseluruhan tarif A (domestik), B (industri) dan lain-lain.

Katanya nilai ini terlalu besar dan boleh mengekang urusan penambahbaikan SAINS dalam perkhidmatan bekalan air di Negeri Sembilan.

“Sebanyak 432,325 akaun aktif direkodkan SAINS di Negeri Sembilan sehingga September 2019, yang mana 368,920 akaun adalah domestik dan 63,405 adalah industri dan lain-lain. Justeru pengguna disarankan untuk menyegerakan pembayaran bil air yang tertunggak dan menjelaskan bil air semasa dengan segera, bagi mengelakkan pemotongan bekalan air,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Tambahnya SAINS akan memasang kain rentang ‘banner’ di setiap daerah sebagai tanda pemberitahuan atau makluman kepada pengguna mulai hari ini.

“Setiap pengguna domestik dan industri disarankan agar lebih peka untuk membuat pembayaran bil air melalui kaedah yang lebih memudahkan pengguna seperti aplikasi online, perbankan internet atau datang terus ke kaunter SAINS, sebelum pemotongan dilaksanakan di semua daerah November ini,” katanya.

Norzita berkata sejajar dengan langkah itu, SAINS juga akan membuat pembenterasan secara besar-besaran pada sambungan haram atau curi air, di semua daerah di Negeri Sembilan.

“Isu sambungan haram ini merupakan isu utama dan usaha berterusan SAINS untuk memastikan pengeluaran air tidak berhasil (NRW) SAINS dapat dibendung dari terus meningkat dan mendatangkan kerugian kepada SAINS.

“Melihat pada kadar purata NRW sehingga Ogos tahun ini, ianya telah menurun pada 31.2 peratus berbanding 31.9 peratus pada akhir 2018 dengan anggaran kerugian RM39 juta awal Januari 2019 sehingga Ogos 2019,” katanya.

Norzita berkata, sehingga September 2019, 376 kes direkodkan SAINS dan diambil tindakan undang-undang. 

"Sebanyak RM1,100,972.45 juta kerugian telah dicatatkan sehingga kini,” katanya.

SAINS menyarankan kepada pengguna air di Negeri Sembilan bagi sebarang masalah berhubung isu bil air dan ingin melaporkan kes paip pecah atau curi air serta apa sahaja berkaitan perkhidmatan bekalan air boleh menghubungi SAINS ditalian 1-800-88-6982 atau laporkan aduan ke email [email protected] atau juga SMS ke talian 06-6033500.

- Bernama