Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia tanah orang Melayu? PM kata tak dengar diucap di kongres

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mendengar ahli akademik Zainal Kling membuat kenyataan menyebut Malaysia sebagai tanah orang Melayu ketika berucap di Kongres Maruah Melayu hari ini.

"Saya tidak mendengar dia (Zainal) kata macam itu, kena dengar balik (rakaman)," katanya pada sidang akhbar penutupan pemukiman ahli parlimen Pakatan Harapan di Subang hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir merupakan antara penceramah di kongres hari ini, yang bermula dengan ucapan dari Zainal.

Dr Mahathir tiba di program berkenaan pukul 11 pagi, sementara Zainal berucap pada pukul 9.30 pagi.

Zainal dalam ucapannya berkata orang Melayu mewarisi Malaysia.

"Marilah kita bangsa Melayu yang sudah mewarisi bumi yang bernama tanah Melayu, bernama Malaysia, apa (maksud) nama Malaysia? Malaysia maknanya 'Melayu' plus 'sia'. Sia adalah bahasa Yunani bemakna kepulauan.

"Maka Malaysia adalah kepulauan Melayu. Justeru, tanah ini bumi Melayu. seperti mana di utara kita ada tanah orang Thai, tanah China, dan tanah orang India," kata Zainal.

Ucapan Zainal, yang juga berulang kali merujuk kepada kontrak sosial, telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Darell dalam satu kenyataan berkata selepas Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, ia menjadi tanah Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Muruts, Bajau, Iban dan Dayak.

Selain Dr Mahathir, pemimpin PH lain yang hadir di sidang media itu termasuk Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga menteri kewangan.

Lim enggan bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang akhbar, manakala pemimpin lain bergegas meninggalkan lokasi sidang akhbar.