Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

India: M'sia perlu ingat hubungan persahabatan

India berkata Malaysia harus berhenti membuat kenyataan mengenai wilayah India di Jammu dan Kashmir.

"Jammu dan Kashmir menandatangani Instrument of Accession seperti semua negara kecil beraja yang lain. Pakistan menceroboh dan menduduki beberapa bahagian Jammu dan Kashmir.

"Kerajaan Malaysia perlu mengingati hubungan persahabatan antara kedua-dua negara dan tidak membuat kenyataan seperti itu," kata jurucakap Hal Ehwal Luar India, Raveesh Kumar, menurut The Economic Times.

Raveesh merujuk kepada ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini.

"Sekarang, walaupun resolusi PBB mengenai Jammu dan Kashmir, negara itu telah diceroboh dan diduduki. Mungkin ada sebab untuk tindakan ini tetapi masih salah.

"Masalah harus diselesaikan dengan cara yang damai, India harus bekerjasama dengan Pakistan untuk menyelesaikan masalah ini. Mengabaikan PBB akan membawa kepada bentuk lain dalam tidak menghiraukan PBB dan kedaulatan undang-undang," kata Dr Mahathir.

Walaupun Dr Mahathir tidak secara jelas berpihak kepada Pakistan atau India, yang kedua-duanya menuntut penguasaan ke atas rantau itu, kenyataan Dr Mahathir secara umumnya dilihat sebagai kritikan terhadap India.

India telah memansuhkan Perkara 370 Perlembagaan India yang memberikan status autonomi khusus kepada Jammu dan Kashmir.

Perkara 370 menyatakan secara jelas bahawa ia adalah "peruntukan sementara".

Selepas pemansuhan itu, kekacauan awam meletus di wilayah berkenaan, didorong oleh konflik tentera yang berlarutan di rantau ini antara Pakistan dan India.

Perkara ini diburukkan lagi oleh perselisihan sektarian tempatan antara Muslim dan Hindu. Rantau itu adalah satu-satunya negara Islam di India.

Pada masa ini, bahagian Jammu dan Kashmir yang dikuasai oleh India berada di bawah perintah berkurung dengan puluhan ribu anggota tentera yang ditempatkan di sana.