Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

K'jaan akan bentang RUU untuk mansuh Akta Antiberita Palsu

Pakatan Harapan (PH) akan membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 pada sidang Dewan Rakyat 8 Okt ini, kata sumber dari Jabatan Perdana Menteri.

Ini merupakan percubaan kedua daripada kerajaan untuk menghapuskan undang-undang kontroversi itu selepas Dewan Negara menolak RUU berkenaan pada September tahun lalu.

"Pembentangan untuk memansuhkan akta ini lagi adalah pada 8 Oktober tetapi terpulang kepada (Setiausaha Dewan Rakyat) Roosme Hamzah," kata sumber kepada Malaysiakini.

Langkah berkenaan adalah selari dengan kenyataan Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong bahawa RUU itu akan secara automatik diluluskan Dewan Negara apabila anggota Dewan Rakyat meluluskannya sekali lagi. 

Awal hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa pendirian kerajaan terhadap akta berkenaan tidak berubah.

"[...] kerajaan berasakan bahawa kita harus membuang akta itu," kata beliau ketika ditanya media di Petaling Jaya pagi ini.

Akta berkenaan dibentangkan kerajaan BN sebelum ini dan diluluskan pada bulan April 2018 - sebulan sebelum PRU14. 

Pengkritik mendakwa akta itu digubal secara tergesa-gesa melalui Parlimen untuk menutup mulut pengkritik kerajaan dan media serta menghalang kebebasan bersuara.

Perlu bendung maklumat salah

Mahathir berkata demikian kepada media selepas berucap Persidangan Lawasia Constitutional and Rule of Law di Petaling Jaya hari ini. 

Dalam ucaptamanya, beliau berkata undang-undang seperti akta antiberita tidak benar tidak semestinya buruk tetapi ia telah disalahgunakan.

Semasa sesi soal jawab kemudiannya perdana menteri berpendapat kerajaan perlu menangani maklumat yang salah tanpa menghalang kebebasan bersuara atau mengawal berita yang benar.

"[...] jika anda gunakan (media sosial) untuk kebaikan, (gunakannya) agar kerajaan tahu apa yang baik. Saya fikir ia sangat bagus.

"Tetapi bagaimana kamu saring berita buruk dan berita baik? Itu adalah masalah yang kita hadapi hari ini.

"Terus terang, saya fikir kita perlu mengawal berita agak palsu tetapi kita perlu berbuat demikian tanpa juga membendung berita benar," katanya.