Pemukiman PH tumpu RUU IPCMC
Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) menjadi antara agenda utama pemukiman Pakatan Harapan (PH) hujung minggu ini.
Pengerusi Pemukiman Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata pemukiman itu yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Saujana Subang, Selangor akan mengumpulkan ahli jemaah menteri, ahli parlimen, senator serta penyokong kerajaan bagi membincangkan secara lebih menyeluruh RUU itu.
"Kami akan kumpulkan semua ahli jemaah menteri, ahli parlimen, senator. Ini adalah peluang kami hadapi sidang parlimen yang panjang kali ini dan RUU itu menjadi fokus kerana ia berkaitan kemakmuran bersama serta wawasan 2020.
"Ini (pemukiman) adalah usaha berkala untuk memastikan ahli parlimen dan jemaah menteri mendapat ruang yang mencukupi untuk bertukar fikiran dan pandangan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ahmad Fahmi yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata IPCMC adalah RUU pertama yang dijangka dibahas di Parlimen.
Selain itu, katanya, pemukiman itu juga akan membawa isu manifesto, langkah meningkatkan taraf hidup rakyat serta ekonomi.
"Isu parti mungkin tidak terlalu dibincangkan kerana kita fokus pada parlimen, dalam ruang tertentu mungkin ada perbincangan mengenai isu politik dan parti tetapi itu bukan jadi fokus.
"Bagaimana kerajaan boleh menunaikan janji manifesto, mengangkat martabat rakyat dan mengembalikan keyakinan pelabur untuk memacu ekonomi," katanya sambil menambah semua ahli parlimen telah menerima soalan dan aturan mesyuarat bagi sidang parlimen itu.
Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Sidang Parlimen Ke-14 akan berlangsung selama 36 hari, mulai Isnin ini.
Mengikut Portal Rasmi Parlimen Malaysia Persidangan Dewan Rakyat berlangsung dari 7 Okt hingga 5 Dis ini manakala pembentangan Bajet 2020 dijangka dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Okt ini.
Dewan Negara pula akan bersidang selama lapan hari bermula 9 Dis hingga 19 Dis depan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai