Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘Putrajaya cuba dapatkan semula dana SRC, bayaran balik cecah RM1.73b’

Pembayaran balik kerajaan bagi pihak SRC International Sdn Bhd yang membuat pinjaman daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) telah mencecah sebanyak RM1.73 bilion.

Ini susulan tindakan kementerian kewangan yang membuat pembayaran faedah sebanyak RM43,023,748.31 kepada KWAP bagi pihak SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

“Berdasarkan kepada jadual pembayaran balik, tarikh pembayaran faedah pembiayaan yang berikutnya adalah pada 28 Februari 2020 melibatkan amaun sebanyak RM37,806,311.73,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

SRC International, yang membuat pinjaman RM4 bilion gagal memenuhi obligasi pembayaran kepada KWAP.

Kerajaan terpaksa membuat bayaran berkenaan memandangkan ia adalah sebahagian daripada jaminan yang ditanggung dan diluluskan oleh kerajaan persekutuan, sebelum ini yang di bawah teraju perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

SRC International diambilalih oleh kementerian kewangan diperbadankan pada tahun 2012.

Lim berkata daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia.

Beliau berkata ini termasuk AS$800 juta dengan BSI Bank di Switzerland, AS$250 juta dengan Bank Julis Baer & Co Ltd di Hong Kong dan AS$60 juta dengan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia.

“Memandangkan sebahagian besar dana ini telah digunakan di merata dunia, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengembalikan seberapa banyak dana RM4 bilion tersebut.

“SRC telah mengalami situasi kewangan yang kritikal sejak tahun 2015, sehingga menyebabkan ia tidak dapat memenuhi obligasi pembayaran pembiayaan dengan KWAP,” katanya.

Lim berkata jelas sekali pinjaman RM4 bilion yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan itu adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salah laku “kleptokrasi” yang melibatkan skandal 1MDB.

“Kerajaan baru akan memastikan bahawa salah laku yang menyebabkan kerugian besar kepada Kerajaan dan rakyat tidak berulang.

“Kementerian Kewangan akan memastikan peruntukan secukupnya disediakan bagi menyelesaikan pembiayaan berkenaan berdasarkan jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan ke arah kelangsungan dana persaraan penjawat awam,” katanya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 22 Oktober untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan lisan.

Ini berasingan daripada tuduhan lain yang melibatkan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan cubaan untuk mengubahsuai laporan audit 1MDB.