Foodpanda akan jumpa Syed Saddiq untuk bincang skim baru
Syarikat penghantaran makanan Foodpanda akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung skim pembayaran baru yang menyaksikan penghantar makanan dari syarikat itu mengadakan mogok bermula semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Foodpanda, Lisa Santa Maria berkata, syarikat itu tidak dapat mengeluarkan kenyataan buat masa ini sehingga perbincangan itu selesai.
“Tunggu dulu. Lepas perbincangan dengan kerajaan. Sebab sekarang ada perbincangan dengan kerajaan jadi kita (Foodpanda) tidak boleh cakap apa-apa dulu,” katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas lanjut, perbincangan itu dijangka diadakan petang ini bersama Syed Saddiq di ibu kota.
“Petang nanti (bincang dengan Syed Saddiq) di Kuala Lumpur,” katanya ringkas.
Semalam, penghantar makanan Foodpanda melancarkan mogok di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Sabah dan Kuala Lumpur susulan skim pembayaran baru yang dilaksanakan.
Bagaimanapun penghantar makanan di Kuala Lumpur dikecualikan daripada skim bayaran itu.
Pelaksanaan skim itu dikatakan mengurangkan jumlah pendapatan mereka disebabkan bayaran tetap RM4 sejam dimansuhkan dengan menaikkan bayaran pesanan antara RM4.50 hingga RM7 mengikut kumpulan tertentu.
Media melaporkan penghantar Foodpanda merungut dengan skim baru itu kerana mereka perlu menunggu dua hingga tiga jam tanpa menerima sebarang pesanan makanan.
Mogok itu mendapat perhatian dari Syed Saddiq yang mengundang penghantar makanan berkenaan bertemu di rumahnya malam ini untuk sesi dialog bersama mereka.
'Penyelesaian menang-menang'
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia berkata pihaknya mengambil maklum tentang isu itu dan telah berjumpa dengan beberapa penghantar Foodpanda untuk maklumat lanjut semalam.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata Jabatan Perhubungan Perusahaan Kuala Lumpur dan Jabatan Tenaga Kerja di beberapa negeri akan bertemu dengan pengurusan Foodpanda hari ini.
"Kementerian akan memastikan wujud situasi menang-menang antara penghantar Foodpanda dengan syarikat kerana kami sentiasa memberi perhatian dan penekanan khusus terhada kebajikan golongan yang berada dalam (sistem) ekonomi gig ini.
"Perkara ini juga akan dibangkitkan oleh menteri dalam mesyuarat jemaah menteri yang akan datang," kata kementerian itu lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai