Bantah skim bayaran baru, penghantar Foodpanda mula mogok
Penghantar makanan Foodpanda memulakan mogok hari ini sebagai bantahan terhadap skim pembayaran baru yang dilaksanakan syarikat penghantaran makanan itu.
Seorang penghantar makanan di Johor Bahru memberitahu Malaysiakini sejumlah 800 penghantar makanan menyertai mogok tersebut untuk hari ini.
Dia juga berkata kira-kira 100 penghantar makanan membuat aduan di pejabat buruh Johor Bahru berkenaan pelaksanaan skim baru tersebut.
"Hari ini kami semua ambil jadual dan log in (dalam sistem) tetapi tak masuk kerja," katanya yang enggan dinamakan ketika dihubungi Malaysiakini.
Sementara itu, penghantar makanan di Melaka M Vinod, 26, mendakwa kira-kira 50 penghantar makanan sekitar Ayer Keroh dan Bandar Hilir menyertai mogok itu dan jumlah itu akan meningkat untuk hari seterusnya.
"Mogok ini untuk menuntut bayaran (mengikut jam) sebelum ini. Sekarang ada 50 (penghantar) yang sertai dan ia akan bertambah sebab mereka yang mula (syif) petang akan sertai. Di sini kita mogok pada lapan pagi hingga satu pagi," katanya menerusi Whatsapp.
Penghantar makanan yang menyertai mogok juga berkumpul di kawasan masing-masing.
Semakan di lokasi tersebut dalam aplikasi Foodpanda mendapati perkhidmatan masih ada, tetapi jumlah pesanan lebih sedikit berbanding biasa.
Minggu lepas, sekumpulan penghantar makanan Foodpanda mengadakan protes di Johor Bahru berhubung skim pembayaran baru itu.
Dalam skim baru itu, Foodpanda menghapuskan bayaran mengikut jam dengan meningkatkan bayaran setiap pesanan antara RM4.50 hingga RM7.
Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam, dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.
Pada 28 September lalu, Pengarah Urusan Foodpanda Sayantan Das berkata perubahan itu untuk membolehkan penghantar makanan yang mahu bekerja lebih mendapat kuantiti penghantaran tinggi justeru mendapat lebih pendapatan.
Selain itu penghantar juga mendapat bayaran lain antaranya bonus RM100 jika bekerja selama 60 jam seminggu, kata Sayantan seperti dipetik Bernama.
Bagaimanapun Oriental Daily melaporkan penghantar Foodpanda mengadu perlu menunggu dua hingga tiga jam tanpa menerima sebarang pesanan.
Skim itu berkuatkuasa hari ini dan dilaksanakan kepada penghantar di seluruh negara kecuali di Lembah Klang.
Bagaimanapun kira-kira 130 penghantar makanan berkumpul di pejabat Foodpanda di Kuala Lumpur, bermula jam sebelas pagi tadi dan berlangsung selama tiga jam, sebagai tanda solidariti.
Sementara itu, portal Daily Express melaporkan lebih 100 penghantar makanan di Kota Kinabalu menyertai mogok itu.
Menurut laporan itu, jurucakap mereka Erwin Omar berkata mogok itu untuk menghantar "mesej jelas" kepada pengurusan bahawa mereka membantah skim baru itu.
'Tiada mogok di Pulau Pinang'
Bagaimanapun tiada mogok di Pulau Pinang dengan sumber mendakwa penghantar makanan menerima pesanan Whatsapp yang memberi amaran kepada mereka agar tidak menyertainya.
“Jikalau didapati anda sertai mogok itu...berkemungkinan ID (Foodpanda) anda disenarai hitam. Dengan erti kata lain dibuang kerja. Jika anda hanya log masuk tetapi tidak ambil pesanan, anda akan ditanda sebagai menyertai mogok," menurut pesanan itu yang dikongsikan seorang penghantar makanan kepada Malaysiakini.
Laporan tambahan oleh Azneal Ishak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai