Menteri tolak cadangan MIC isu penganjuran marathon
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menolak cadangan MIC Wilayah Persekutuan yang mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi kelulusan kepada acara-acara besar seperti marathon dan konsert diadakan di Kuala Lumpur.
"Program ini hanya sehari dan sekali sahaja dalam setahun. Jadi, saya rasa tak wajar kita ubah lokasi kalau berlakunya sesuatu," katanya kepada pemberita ketika ditanya berkenaan cadangan berkenaan.
"Tak wajar ubah lokasi. Kalau ada masalah, kita atasi masalahnya dulu," tambahnya ketika mengulas insiden 'langgar lari' dalam Marathon Standard Chartered di Kuala Lumpur sehingga tiga peserta cedera pada awal pagi semalam.
Terdahulu, pada Sabtu lalu, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, S Rajah berkata sekiranya DBKL menolak penganjuran acara-acara besar di Kuala Lumpur ia sedikit sebanyak membantu kesesakan lalu lintas pada hari minggu.
"Saya nampak, sering kali acara besar (berdasarkan jumlah peserta) diadakan di Kuala Lumpur. Sebagai contoh esok (semalam) kita ada marathon di mana DBKL menutup 26 jalan utama di sekitar Kuala Lumpur.
"Ini jelas akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Kuala Lumpur. Sebaliknya, DBKL perlu mengalihkan ke Putrajaya atau Bukit Jalil, di mana keadaan lalu lintas agak sederhana," katanya.
Bagaimanapun, Khalid berkata bahawa acara marathon seperti dianjurkan Standard Chartered itu merupakan acara telah lama diadakan di Kuala Lumpur.
"Sesuatu acara yang dah mencapai prestasi sepertimana Standard Chartered itu sehingga penyertaan hampir 40,000 ia perlu dijaga tidak menimbulkan masalah-masalah yang boleh menjejaskan program," katanya.
Sementara itu, Khalid mengesahkan bahawa pihaknya akan membuat siasatan untuk mengenal pasti punca insiden langgar lari di marathon itu.
"Kita akan siasat dan mengenal pasti punca insiden. Dan cuba atasi serta menjamin keselamatan yang lebih tinggi," tambahnya.
Dalam kejadian semalam, tiga peserta cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang merempuh penghadang keselamatan didirikan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada awal pagi.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook acara itu, penganjur berkata peserta yang cedera mendapat rawatan perubatan.
"Sebelum ini, pada acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon, terdapat kemalangan yang membabitkan sebuah kereta yang merempuh hadangan keselamatan kami.
"Pelari yang terlibat sedang menerima rawatan perubatan. Kesejahteraan peserta larian kami kekal menjadi keutamaan kami dan kami menawarkan bantuan kepada mereka yang terjejas dalam kejadian ini.
"Kami juga bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan akan memberikan perkembangan terkini apabila mendapat maklumat lanjut yang menjelaskan mengenai kejadian tersebut," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai