Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘They compained to daddy’ kata Jho Low berhubung pinjaman PSI - Saksi

KES 1MDB NAJIB l "They complained to daddy" (Mereka mengadu kepada ayah), merujuk kepada ketidakpuasan hati PetroSaudi International Limited (PSI) terhadap pengurangan pembayaran pinjaman pelaburan daripada AS$330 juta kepada AS$205 juta daripada 1MDB, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low memberitahu beliau bahawa pihak PSI amat kecewa dan tidak berpuas hati mengenai perkara itu.

"Jho Low ada berkata 'they complained to daddy' yang bermaksud Putera Turki Abdullah (wakil dari PSI) telah memaklumkan kepada Raja Abdullah.

"Saya juga difahamkan oleh Jho Low yang ada perbualan antara Najib Razak dan Raja Abdullah mengenai isu ini kerana jumlah AS$330 juta berkenaan sudah dipersetujui.

"Saya kemudiannya terpaksa akur dan mengarahkan pembayaran 'tranche' terakhir iaitu AS$125 juta dibuat kepada PSI," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes Najib membabitkan 1MDB.

Shahrol Azral berkata beliau telah mengurangkan pembayaran daripada AS$330 juta kepada AS$205 juta pada 27 Mei 2011 selepas mendapat maklum balas daripada Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Radhi Mohamad bahawa 1MDB tidak mempunyai wang mencukupi untuk memenuhi permintaan PSI.

“Saya ada berbincang perkara ini dengan Jho Low mengenai masalah ini dan Jho Low meminta saya untuk menghantar surat kepada PSI," katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu memberitahu mahkamah bahawa 1MDB telah membuat transaksi pembayaran sebanyak empat kali iaitu pada 20 Mei 2011 (AS$30 juta), 23 Mei 2011 (AS$65 juta), 27 Mei 2011 (AS$110 juta) dan 25 Okt 2011 (AS$125 juta).

Terdahulu, Shahrol Azral berkata Tarek Obaid (pengasas bersama dan CEO PSI) telah menulis surat kepada Najib bertarikh 18 Feb 2011 mengenai permintaan tambahan pinjaman AS$750 juta bagi menyuntik dana tambahan pelaburan.

Namun, saksi penting pendakwaan itu berkata selepas mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah 1MDB diadakan pada 4 April 2011, beliau memberitahu kepada Jho Low bahawa 1MDB kekurangan wang untuk melabur AS$750 juta untuk projek luar negara dan seterusnya meminta pertolongan Jho Low untuk membuat rundingan dengan pihak PSI bagi menangguhkan atau mengurangkan jumlah pelaburan yang diminta.

Shahrol Azral berkata lanjutan daripada perbincangan pada April hingga Mei 2011 antara beliau dan Jho Low, pihak PSI bersetuju untuk mengurangkan 'draw down request' dari PSI-1MDB JVCo (JVCo) kepada AS$330 juta pada 12 Mei 2011.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama