Membidas Jakarta dan jerebu dengan lagu
Masalah jerebu yang melanda Malaysia, Singapura dan Indonesia memberi inspirasi kepada warganet berkarya cara kreatif sambil mengkritik Jakarta dengan mencipta lagu khusus berkait isu semasa.
Di sebalik pelbagai langkah diambil kerajaan terbabit untuk mengatasi jerebu - seperti pembenihan awam, mengawasi titik panas dan melarang pembakaran terbuka - usaha khususnya Indonesia dianggap sebagai tidak memadai.
Justeru beberapa pihak meluahkan perasaan dan protes mereka melalui lagu.
Antara lagu yang menjadi tular di media sosial adalah Negri Awan ciptaan Tommy Rispa dan Kamilonte (A.S.A.P - Aku Susah Aktivitas Pagi).
Lagu ciptaan Tommy yang dimuat naik di YouTube pada 10 Sept setakat ini ditonton hampir 34,000 kali, manakala, A.S.A.P dimuat naik pada 10 Ogos mendapat 57,000 tontonan.
Kedua-dua lagu menyentuh kesukaran masyarakat Indonesia yang terjejas akibat jerebu.
Riau semalam diisytiharkan sebagai darurat berikutan indeks pencemaran udara (IPU) di wilayah itu melebihi 500.
Gabernor Riau, Syamsuar, mengisytiharkan darurat itu akan berlangsung sehingga 31 Sept ini, dan masih bergantung kepada keadaan semasa.
Sejak 13 Sept lalu, kualiti udara di Riau dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat.
Sementara itu sebuah lagi lagu - bertajuk Kebakaran & Kabut Asap - turut mendapatkan perhatian di kalangan pengguna YouTube.
Lagu ciptaan Jack Pataba itu turut menggunakan tanda pagar #SaveHutanIndonesia (Selamatkan Hutan Indonesia) sebagai desakan kepada kerajaan Indonesia mengambil langkah tegas dalam usaha menyelamatkan hutan di yang semakin pupus akibat kebakaran di negara itu.
Selain itu, lagu Di Manakah Nurani diiringi kata-kata: "Sebuah lagu yang dibuat untuk pemimpin negeri dalam menyuarakan suara masyarakat Riau" menerima sambutan daripada warganet tempatan dan luar.
Tidak ketinggalan mencetuskan ilham daripada jerebu ialah lagu asal nyanyian Allahyarham P Ramlee untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap masalah jerebu yang masih berlanjutan tahun demi tahun.
Menggunakan lagu Maafkan Kami dari filem Pendekar Bujang Lapok arahan P Ramlee pada 1959, video diubah suai itu dimuat naik akaun Virdo Arman Samseng007 menjadi Tolonglah Kami untuk menjelaskan keadaan semasa di Riau yang merupakan kawasan paling terjejas akibat jerebu.
Mereka turut meminta Presiden Indonesia Joko Widodo supaya menghentikan perbincangan panjang kerana rakyat Riau semakin terasa kesan jerebu.
Jokowi turut diminta bertindak tegas ke atas dalang di sebalik kebakaran hutan yang menjadi punca kepada jerebu tersebut.
Sementara itu, rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan apabila mencipta lagu bertajuk Jerebu!! Lagu Dari Malaysia Buat Indonesia ciptaan Steven Bones Everyhting.
Lagu bahasa Inggeris itu mengkritik tindakan Indonesia kerana berlakunya pembakaran terbuka sehingga rakyat Malaysia dan Singapura menghadapi masalah kesihatan.
Murid-murid juga berasa sedih kerana sekolahnya ditutup.
Menurut lagu itu, pembakaran hutan dan ladang di Kalimantan dan Sumatera sengaja dilakukan ketika angin monsun beralih ke arah utara (Malaysia dan Singapura).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai