Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Proton 'bebaskan' harimau untuk kuasai pasaran

Dalam usahanya menjadi jenama global, Proton Holdings Berhad menyerlahkan cita-cita itu melalui imej harimau dalam logo barunya.

Pada majlis pelancaran logo baru itu di Subang pagi tadi, ketua pereka syarikat itu, Azlan Othman, berkata lambang tersebut mencerminkan imej dan impian Proton.

"Ini adalah usaha untuk terus berada dalam trend, untuk kekal moden," katanya.

Menurut Azlan, Proton memutuskan untuk mengekalkan imej harimau dalam logonya - sama seperti yang dilakukan syarikat itu sejak 2000 sebagai melambangkan kekuatan, ketangkasan, keberanian dan kebanggaan.

"Untuk menjadi (sebuah) jenama antarabangsa, dalam lembaran yang baru, harimau perlu dibebaskan dan tidak dikurung,” katanya.

Ia merupakan logo keenam Proton sejak ia pertama kali dilancarkan pada 1985.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong, berkata syarikat itu menyasarkan untuk menghasilkan 400,000 kereta setiap tahun menjelang 2027.

“Kami mahu menjadi pemain utama di (pasaran) Malaysia ini serta yang ketiga ke atas di pasaran Asean (akan datang),” katanya.

Pada masa sama, Pengerusi Proton, Syed Faisal Albar, berkata syarikat itu memasuki pasaran di Pakistan dan Brunei dan sedang menjalankan kajian di Asean untuk melihat penerimaan serantau terhadap Proton dan dasar-dasar automotif negara.

“Berhubung strategi kami memasuki pasaran luar negara itu, pasaran haruslah yang bermakna untuk (syarikat) kami. Bukan sekadar ingin berada di pasaran, kemudian menjual produk kami.

"Ia bukan soal menjualnya saja, tetapi juga memberikan makna (dalam pasaran) dan juga menjana berkongsi dalam sesuatu pasaran tersebut,” katanya.

[Baca berita penuh]