'Jangan politikkan isu tanah Kampung Baru'
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini meminta pihak pembangkang tidak mempolitikkan isu pembelian tanah Kampung Baru, untuk menggagalkan usaha pembangunan semula kawasan penempatan di ibu kota itu.
Beliau berkata pembangunan semula Kampung Baru adalah untuk kepentingan penduduknya juga, di mana kerajaan berharap dapat menonjolkan penempatan masyarakat Melayu yang moden, selesa dan maju pada dunia.
"Jangan main poiltik dalam soal ini. Kita ambil kira kepentingan masyarakat Melayu dan Islam, dan tak nak tinggalkan keadaan di mana satu bandar telah dibangunkan, tetapi Kampung Baru kekal dalam keadaan sebegitu," katanya selepas majlis penyerahan watikah pelantikan 12 ahli bagi Lembaga Rayuan (Perancangan) dan Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Khalid pada Sabtu lepas berkata kerajaan menawarkan kadar RM850 sekaki persegi, sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru dan ia merupakan kadar tertinggi dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Khalid menyelar pembangkang yang ketika menjadi kerajaan dahulu menawarkan kadar RM300 sekaki persegi, namun kini membuat kenyataan bahawa kadar RM850 sekaki persegi terlalu rendah.
Beliau turut meminta penduduk Kampung Baru tidak mendengar hasutan pihak yang tidak mahu pembangunan semula itu berjalan.
Menurutnya, pembangunan Kampung Baru melibatkan 45,000 unit kediaman di mana 50 peratus daripadanya ditetapkan untuk pembinaan rumah mampu milik.
Sementara itu, Khalid berkata fungsi dan peranan dua entiti iaitu Lembaga Rayuan (Perancangan) dan Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan dihidupkan semula, bagi menambah nilai dan mengukuhkan sistem serta tadbir urus perancangan bandar di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kedua-dua entiti itu telah wujud sebelum ini, namun ia tidak dimanfaatkan dan berperanan secara aktif dalam melengkapkan sistem dan tadbir urus perancangan, khususnya di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya pihak kementerian mengambil langkah proaktif menggerakkan semula dan mengemaskini fungsi dan peranan kedua-dua entiti tersebut, selaras dengan peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) bermula pertengahan tahun lepas, bagi mengambil kira cabaran dan isu perbandaran.
Dalam kawasan DBKL, sejumlah 59 kes rayuan telah didaftarkan, dan sesi pendengaran dan perbicaraan pertama akan berlangsung pada 1 dan 2 Okt ini di Mahkamah Kuala Lumpur, katanya.
Lembaga Rayuan (Perancangan) akan bertindak seperti 'mahkamah perancangan' bagi mendengar dan mempertimbangkan kes berkaitan perancangan bandar dan menjadi platform memudahkan pihak yang terkilan mengemukakan rayuan, apabila tidak berpuas hati dengan keputusan pihak berkuasa perancangan tempatan, katanya.
Lembaga Penasihat Perancangan pula, berperanan sebagai platform rasmi bagi memastikan dasar dan keutamaan yang digariskan Kementerian Wilayah Persekutuan dari segi pembangunan fizikal, alam sekitar, sosial dan ekonomi diterjemahkan dalam sistem dan proses perancangan bandar di Kuala Lumpur.
"Ia amat tepat pada masanya ketika kita sedang wartakan pelan Kuala Lumpur 2020-2040. Inilah masanya untuk kita dapatkan semua pandangan dan nasihat, khususnya daripada golongan profesional terhadap perancangan pembangunan Kuala Lumpur 2040, boleh kita perolehi dan ambil kira dalam perancangan kita," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai