Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

CIMB sertai 130 bank global peraku Prinsin Perbankan Bertanggungjawab

CIMB Group Holdings Bhd hari ini menjadi sebahagian daripada Penandatangan Pengasas Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab atau UNEP-FI.

Menurut salah satu kumpulan perbankan terbesar di Asean itu, inisiatif berkenaan turut memaparkan komitmen kukuh CIMB untuk melaraskan strategi perniagaannya dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB dan Perjanjian Paris Mengenai Perubahan Cuaca.

“Sebagai ahli pengasas Prinsip Perbankan Bertanggungjawab UNEP-FI, kami yakin hanya dalam masyarakat yang inklusif, berteraskan maruah kemanusiaan, kesaksamaan dan penggunaan sumber asli secara mampan akan membolehkan para pekerja, pelanggan serta pihak berkepentingan lain mencapai kejayaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) CIMB Tengku Zafrul Aziz, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dengan menandatangani prinsip itu, pihaknya komited menggunakan produk, perkhidmatan dan perhubungan bagi menyokong dan meningkatkan perubahan asas dalam ekonomi dan dan gaya hidup bersesuaian bagi mencapai kemakmuran bersama untuk generasi semasa dan akan datang.

Sebagai salah satu penandatangan itu, CIMB menyertai pakatan kira-kira 130 bank di serata dunia dengan aset bernilai lebih AS$47 trilion (AS$1 = RM4.16) yang komited memainkan peranan penting demi mencapai masa depan yang mampan.

Pelancaran Prinsip-Prinsip bagi Perbankan Bertanggungjawab di acara utama Perhimpunan Agung PBB itu turut menandakan permulaan pakatan paling signifikan setakat ini membabitkan industri perbankan global dengan PBB.

“Prinsip-Prinsip Perbankan Bertanggungjawab PBB itu merupakan garis panduan bagi industri perbankan global untuk memberi maklum balas, memacu serta memanfaatkan pembangunan ekonomi yang mampan.

“Prinsip itu mewujudkan kebertanggungjawaban yang merealisasikan tanggung jawab dan cita-cita yang memacu tindakan,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada majlis pelancaran itu yang turut dihadiri oleh 130 Penandatangan Pengasas serta 45 CEO masing-masing.

Menurut kenyataan itu, Prinsip bagi Perbankan Bertanggungjawab itu turut disokong oleh kerangka pelaksanaan dan kebertanggungjawaban yang kukuh.

Menerusi tindakan menandatanganinya, CIMB komited untuk telus dari segi impak positif dan negatif terhadap orang ramai serta planet ini.

Prinsip tersebut juga memberi CIMB satu kerangka efektif untuk mengenal pasti secara sistematik dan merebut peluang perniagaan baru yang diwujudkan oleh ekonomi negara sedang pesat membangun selain membolehkan pihak bank mengenal pasti dan menangani risiko berkaitan.

Di bawah pelan strategik pertumbuhan mampan semasa Forward23, CIMB telah mula terlibat urus dengan pengawal selia, pelabur, pelanggan, pembekal, pekerja dan komuniti untuk membentuk masa depan lebih mampan dan berdaya tahan untuk semua.

CIMB juga akan menjadi tuan rumah The Cooler Earth iaitu sidang kemuncak kemampanannya yang julung kali diadakan di sini pada 1-2 Okt ini.

- Bernama