Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Individu didakwa rancang serang kuil akan dibicara di KL

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bersetuju dengan permohonan oleh pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan individu yang menghadapi lapan dakwaan kes keganasan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Nooriah Osman.

Mahadi Mamat, 33, didakwa di bawah pelbagai subseksyen Seksyen 130 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan keganasan.

Dia dituduh mendapatkan pistol buatan Czech CZ 75, dan 15 peluru serta enam bom paip dengan niat untuk melakukan kegiatan keganasan.

Dia juga dituduh merancang membunuh empat warga Malaysia yang berprofil tinggi dalam kumpulan mesej berjudul "Sejati Sejiwa".

Mengikut fakta kes tersebut, Mahadi ditangkap kerana disyaki merancang serangan terhadap kuil Sri Mahamariamman Seafield.

Kuil itu menjadi subjek pertikaian tanah yang kemudian mengakibatkan rusuhan dan seterusnya membawa kepada kematian seorang kakitangan bomba dan penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut pengarah bahagian anti-keganasan Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, Mahadi dituduh memimpin kumpulan pengganas yang telah dibongkar.

Tertuduh ditahan dan disiasat selama 28 hari di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012.

Mahadi akan kekal ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga kesnya disebutkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Polis sentiasa berjaga-jaga terhadap individu yang melanggar undang-undang yang boleh mengancam ketenteraman awam.

"Kami menggesa orang ramai untuk melaporkan unsur pelampau kepada polis untuk membantu kami mengekalkan keamanan dan keharmonian," kata Ayob Khan kepada Malaysiakini.