Lim: Mahukah pembangkang sertai sidang perangi berita palsu?
DAP sanggup menjadi tuan rumah persidangan meja bulat bagi memerangi berita palsu dan ucapan kebencian jika pembangkang berminat untuk hadir, kata penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Jemputan itu diumumkan oleh anggota parlimen Iskandar Puteri itu dalam ucapannya dalam satu majlis di Sibu Sarawak malam tadi.
“Saya ingin lontarkan cabaran kepada semua parti politik sama ada dalam kerajaan mahukan swasta, di peringkat negeri dan pusat untuk bersatu menentang berita palsu dan ucapan kebencian.
"Adakah parti pembangkang bersedia menghadiri persidangan meja bulat memerangi berita palsu dan ucapan kebencian?
"Dan jika mahu DAP bersedia menjadi hos persidangan meja bulat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata baru-baru ini negara dibanjiri dengan berita palsu dan ucapan kebencian bagi menghasut polarisasi antara kaum dan agama, terutama dalam media sosial.
Katanya hal itu boleh menjadi ancaman terbesar kepada Malaysia yang berusaha menjadi negara yang bersatu, berjaya dalam kelas tertinggi di dunia.
"Bahkan pada Hari Malaysia, ketika kita harus menggalakkan semua rakyat Malaysia - tanpa mengira kaum dan agama agar bersatu sebagai satu bangsa - terdapat parti politik dan pemimpin politik yang mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian bagi memecah-belah perpaduan rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata ketika DAP bersama pembangkang di peringkat persekutuan selama 52 tahun dahulu, mereka memberi reaksi positif terhadap sebarang cadangan oleh mana-mana parti kerajaan untuk bersatu dan mengambil sikap tegas menentang berita palsu dan ucapan kebencian tanpa sebarang keraguan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai