Penduduk kecewa Adun tak jenguk lepas perobohan
Penduduk berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras di Sungai Buloh kecewa kerana wakil rakyat kawasan mereka tidak turun padang melihat keadaan perobohan rumah di kawasan itu.
Wakil penduduk Azroy Abdul Manaf berkata, kali terakhir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman hadir berjumpa penduduk adalah pada awal bulan lalu.
"Pada 3 hari bulan Ogos (Khairuddin turun padang), itupun bukan sebab perobohan. Waktu dia tawarkan Rumah Selangorku. Itu saja,’’ katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya kali terakhir dia beliau berjumpa dengan Khairuddin.
Azroy berkata, Khairuddin sewajarnya datang berjumpa dan mendengar rintihan penduduk walaupun rumah yang diroboh dibina atas tanah kerajaan.
‘’Walaupun mereka duduk di atas tanah kerajaan, sekurang-kurangnya Khairuddin datang beri penjelasan dan jawapan yang konkrit untuk masyarakat.
‘’Mereka di tanah kerajaan dan mereka sedia berpindah,’’ katanya.
Tambah Azroy, penduduk mengharapkan bantuan Khairuddin yang juga exco kerajaan negeri Selangor.
‘’Kami harap sangat bantuan dari beliau tapi beliau tak bantu kami. Kami mengharapkan YB kerana (beliau) exco kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi, Khairuddin berkata, dia akan meminta pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk melihat keadaan penduduk kampung yang terjejas akibat perobohan yang dilakukan.
‘’Tak apa. Saya akan minta pejabat daerah dan PBT untuk tengok satu kampung di situ untuk lihat bagaimana cara kita nak bantu.
‘’Ada dalam kalangan mereka yang datang kita (kerajaan) cuba bantu. Tetapi ramai yang memilih untuk pilih demonstrasi dan tak nak berbincang.
‘’Itulah masalahnya,’’ katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, lebih 30 buah rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dirobohkan bagi meneruskan projek meluaskan sungai di tepi kawasan perumahan.
Projek meluaskan sungai tersebut sudah lama dijalankan namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan rayuan penduduk kampung.
Notis penangguhan perobohan terakhir diberikan pada 4 September lalu oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah bersama Adun, serta pejabat tanah wakil daripada menteri besar Selangor.
Penangguhan tersebut berkuatkuasa pada 5 September hingga 16 September 2019 namun, Azroy mendakwa notis perobohan tidak diberikan kepada penduduk sebelum perobohan yang dilakukan semalam.
Azroy berkata, penduduk di kawasan berkenaan berharap tempoh pengangguhan diberikan lebih lama.
"Kami dah cakap daripada awal kami sebagai penduduk tidak menghalang pembangunan. Kami cuma minta tempoh penangguhan.
‘’Mereka nak roboh, silakan roboh. Cuma penangguhan yang kami minta sebagai hak kemanusiaan,’’ katanya.
Semalam, Khairuddin dilaporkan berkata prosedur perobohan di kawasan itu ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.
Katanya, penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.
Tawaran rumah Rumah Selangorku tanpa perlu menunggu giliran juga diberikan pada mereka melalui surat 2 Ogos lalu, katanya lagi.
Mohd Khairuddin juga berkata, notis perobohan dikeluarkan beberapa hari kemudian dengan tempoh selama 30 hari supaya penduduk mencari rumah sewa lain.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai