Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

RSPO siasat syarikat terlibat dalam kebakaran hutan di Indonesia

Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan badan pensijilannya sedang menyiasat syarikat yang telah menerima sijilnya yang terlibat dalam kebakaran hutan di Indonesia.

Dalam emel kepada Malaysiakini semalam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RSPO Darrell Webber berkata apabila kawasan panas dikesan, prosedur standard Unit Siasatan dan Pemantauan (IMU) pihaknya ialah untuk membuat susulan dengan anggota RSPO bagi mengesahkan jika kebakaran ada berlaku, dan jika ya, sama ada usaha dijalankan untuk menanganinya.

Pengurus sistem maklumat geografi RSPO menggunakan satelit untuk mengesan semua kawasan panas dalam konsesi yang menerima sijil RSPO, dan juga yang tidak, di Malaysia dan Indonesia, kata Webber.

"IMU menghubungi anggota RSPO yang didakwa terlibat dalam kebakaran di Indonesia untuk pengesahan dan maklumat lanjut. Sesetengah anggota membuat pengumuman berkenaan perkara ini minggu lalu.

"Setakat ini, badan pensijilan masing-masing akan membuat siasatan sewajarnya.

"Jika anggota RSPO didapati sengaja menggunakan kebakaran untuk membersihkan hutan, ia akan ditangani melalui proses laporan RSPO dan sekatan mungkin dikenakan," katanya lagi.

Beliau ditanya sama ada syarikat yang menerima sijil RSPO berisiko kehilangannya jika didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka di Indonesia.

Dalam pada itu, Webber menegaskan RSPO memandang perkara itu dengan "sangat serius".

"Kami mengambil isu kebakaran ini - sama ada ia berlaku secara kemalangan atau sengaja dibuat untuk membersihkan hutan - dengan sangat serius dan standard kita melarangnya," katanya.

Indonesia dilaporkan menutup kawasan ladang yang dikendalikan sejumlah 30 syarikat dan mengenakan dakwaan jenayah terhadap empat syarikat berikutan pembakaran terbuka.

Di kalangan 30 syarikat itu, empat mempunyai kaitan dengan syarikat Malaysia iaitu IOI Corporation, Sime Darby Plantation, TDM Bhd and Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd.

Sime Darby dan IOI menafikan ladang anak syarikatnya ditutup, manakala KLK mengakui kebakaran berlaku di ladang anak syarikatnya dan ia telah dipadam.