Berkawan, pisah sebab politik tak ada kaitan iman, Islam
ULASAN | Kenapakah peristiwa semalam sangat bermakna bagi pendokongnya?
Untuk memahaminya, kita perlu hayati bagaimanakah mereka mentafsirkan dan hidup dengan perbezaan antara dua parti itu, sejak selepas perpisahan 1978.
Sejarah dan realiti hari ini memaparkan ia bukan hanya perbezaan dan pertelingkahan politik.
Ia lebih daripada itu. Melibatkan soal Islam dan kufur. Itulah yang berlaku.
Sehingga hari ini. Justeru, Umno dan Amanah mudah dilabelkan macam-macam kerana tidak 'bersama' mereka.
Sedangkan ia hanya pertubuhan politik.
Naratif dan pemahaman berbeza telah dimulakan oleh Amanah dan PH di mana penekanan pada persoalan politik adalah politik dan politik adalah ijtihad siyasi dan politik bukan persoalan aqidah dalam konteks kebolehan berbeza dan memiliki kepelbagaian parti serta pertentangan hanya pertentangan ijtihad siyasi bukan pertentangan dan ikhtilaf asas-asas atau furuk-furuk aqidah.
Jika orang Amanah membaca batasan iman dan kufur bukan dibaca pada membezakan ahli Amanah dan parti-parti lain tetapi dibacakan pada seluruh umat Islam, setiap individu, dalam semua parti serta yang tidak berparti.
Justeru, peristiwa semalam sangat meruntun emosi kerana mereka berasa ia seperti satu penyatuan umat Islam atas persoalan iman dan agama.
Umat Islam sudah bersatu
Bagi Amanah, kewujudan perbezaan parti politik tidak bermakna umat Islam sedang berpecah.
Penyatuan umat Islam sebenar adalah pada aqidah dan teras Ahli Sunnah Wal Jamaah, biarpun berbilang parti.
Bagaimama jika akhirnya mereka berpisah semula? Apakah naratifnya perpisahan politik semata-mata atau ia telah melanggari ayat yang sering digunakan:
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Surah Al Imran, ayat 3)
Apakah ia dikira perpecahan umat Islam yang diharamkan atau sekadar mengambil langkah dan jalan berbeza dalam perkara politik?
Itu amat penting untuk dihayati mereka.
Bagi Amanah, ia akan bertindak dengan naratif yang sama, sama ada hari ini dalam PH atau nantinya kalau Allah taqdirkan berbeza, ia sekadar politik.
Hari ini berkawan kerana politik dan lusa jika berpisah atas soal politik juga.
Ia tidak secara langsung berkait soal iman, Islam dan kufur atau penyatuan ummah.
Justeru ahli dan pemimpin Amanah melihat penyatuan semalam sekadar kerjasama antara dua parti untuk melawan PH bagi berkuasa di Putrajaya, tidak lebih daripada itu.
Kritik-kritik yang dilontar adalah kritik politik dan dalam rangka kerja siasah dan kempen politik semata-mata bukan menentang Islam dan umat Islam. Tidak sama sekali.
OMAR MOHAMED seorang ahli Amanah dan pembaca Malaysiakini.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai