Airasia didenda RM400,000, MAHB pula RM1.18 juta
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mendenda RM200,000 masing-masing ke atas AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd, kerana mengenakan fi pemprosesan kad kredit, kad debit dan perbankan dalam talian, berasingan daripada tambang asas.
Dalam kenyataannya hari ini, Mavcom berkata AirAsia dan AirAsia X didapati melanggar subperanggan 3(2) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), yang mensyaratkan pendedahan harga akhir tambang udara.
“Suruhanjaya itu sudah memantau pematuhan peruntukan baru MACPC itu sejak Jun 2019.
“Dalam proses untuk menentukan sama ada pelanggaran dilakukan, Mavcom mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kedua-dua syarikat penerbangan itu untuk membolehkannya menunjukkan faktor dalam menentukan jumlah penalti,” katanya.
Seksyen 69(4) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] bersama perenggan 22 MACPC memberikan kuasa kepada MAVCOM untuk mengenakan penalti kewangan kerana gagal mematuhi MACPC dengan jumlah tidak melebihi RM200,000, dan bagi pelanggaran kedua dan seterusnya, jumlahnya adalah 10 kali ganda penalti kewangan yang dikenakan pada pelanggaran pertama.
Selepas menilai dan menimbang representasi bertulis oleh syarikat penerbangan itu, suruhanjaya mengenakan penalti ke atas pelanggan petama subperanggan 3(2) Akta MACPC, bagi tempoh 1 Jun, 2019 hingga 9 Ogos 2019.
MACPC berkuat kuasa pada 1 Julai1, 2019, dan disiarkan selari matlamat Mavcom untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna.
Sementara itu, Mavcom juga mendenda RM1,179,889 ke atas Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd, kerana gagal memenuhi beberapa syarat Kerangka Kerja Perkhidmatan Berkualiti Lapangan Terbang (QoS) dari Januari hingga Mac 2019.
Rangka Kerja QoS Airports mula dilaksana di KLIA dan klia2 pada 1 Sept, 2018 untuk meningkatkan tahap perkhidmatan lapangan terbang kepada pengguna termasuk penumpang, syarikat penerbangan dan pengendali darat.
Menurut seksyen 98A (3) (b) Akta 771, Suruhanjaya diberi kuasa untuk mengenakan jumlah yang tidak melebihi lima peratus daripada perolehan tahunan MA Sepang.
AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang menerima surat daripada Suruhanjaya itu 6 Sept, 2019.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata berdasarkan pangkalan pengguna yang besar, melebihi 100 juta penumpang setahun, suruhanjaya itu menetapkan MACPC dan Kerangka QoS Lapangan terbang untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna penerbangan.
"Tindakan (peraturan) ini juga bertujuan untuk menggerakkan industri penerbangan di Malaysia ke arah peningkatan tahap perkhidmatan, integriti, dan ketelusan, sejajar dengan objektif jangka panjang Mavcom untuk industri itu," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai