Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kes rompakan: Polis tahan 5 individu, 2 'pegawai penguatkuasa'

Polis menahan dua individu, termasuk dua pegawai penguatkuasa, selepas seorang ahli perniagaan Indonesia membuat laporan telah dirompak sebanyak SG$413,000 (RM1.24 juta) di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah mengesahkan penahanan lima lelaki dan dua perempuan, berusia antara 36 dan 59 tahun, berkaitan insiden yang dikatakan berlaku di sebuah apartment di Kuala Lumpur pada 2 September lalu.

Difahamkan ahli perniagaan berusia 40-an itu datang ke Kuala Lumpur untuk rundingan bersama dua rakan niaga - masing-masing warga Malaysia dan Singapura.

Lelaki itu ke restoran bersama seorang rakan niaga itu, manakala seorang lagi duduk di apartment itu bersama-sama beg berisi wang.

Ketika dia kembali ke apartmen, empat lelaki beruniform ada di situ. Mereka didakwa mengambil wang tersebut atas dasar "menjalankan siasatan".

Mohd Fahmi berkata dua daripada lelaki itu mengatakan mereka adalah pegawai penguatkuasa.

Suspek ditahan antara 5 hingga 7 September, katanya lagi.

"Polis akan mendapatkan lanjutan reman esok untuk meneruskan siasatan.

"Ada dua lagi lelaki yang masih bebas dan polis masih memburu mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Belum jelas sama ada rakan niaga warga Indonesia itu memainkan peranan dalam rompakan tersebut.

Ini bukan kali pertama kes melibatkan pelaku beruniform dilaporkan.

Pada Mei lalu, PDRM menahan tujuh anggota polis dan seorang kakitangan Bank Negara berkaitan kes rompakan melibatkan ahli perniagaan di Kuala Lumpur, melibatkan RM204,000.

Pada Julai pula, Ketua Polis Selangor Fadzil Ahmat mengesahkan polis menahan empat anggotanya berkenaan kes pembebasan tanpa mengikut undang-undang terhadap seorang warga Pakistan, yang didapati bersalah atas kesalahan imigresen.