Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PSM: Empangan Papar tak masuk akal dari segi ekonomi, sosial

PSM menyifatkan projek Empangan Papar bernilai RM2 bilion yang mahu dibina bagi menangani masalah bekalan air di Sabah sebagai "tidak masuk akal" dari segi ekonomi dan sosial.

Kata ahli jawatankuasa pusat PSM, Sharan Raj, pada 2018, air tidak terhasil (NRW) Sabah berada pada kadar 52.5 peratus dan separuh daripada air yang dirawat itu tidak sampai kepada pengguna kerana kebocoran serta pengurusan yang lemah.

"Menyelesaikan NRW hanya akan menelan belanja sekitar 10 peratus daripada bajet Empangan Papar.

"Sabah harus memberi tumpuan kepada usaha peningkatan kecekapan pengurusan air dan mempromosikan penuaian air hujan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sharan juga berkata bahawa Sabah mempunyai lebihan kapasiti bekalan elektrik (margin simpanan) sebanyak 32 peratus tahun lepas.

Menurutnya, situasi itu merupakan kelebihan bekalan kerana margin rizab yang disyorkan adalah 20 peratus.

"Peningkatan margin rizab hanya akan meningkatkan tarif elektrik dan membebankan pengguna.

"Sistem elektrik Sabah yang tidak cekap adalah disebabkan oleh infrastruktur penghantaran yang lemah dan bukan disebabkan kekurangan bekalan elektrik," kata Sharan.

Sharan sebaliknya mencadangkan pengguna elektrik yang intensif harus digesa mengurangkan penggunaan elektrik mereka melalui kecekapan tenaga dan panel solar.

"Dasar-dasar seperti ini juga akan mewujudkan dan mengekalkan 'pekerjaan hijau' dalam menangani pengangguran belia Sabah.

"Selain itu, bio-metana yang terhasil dari tapak pelupusan sampah dan sisa pertanian boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik.

"Pembelian sisa organik dari sektor pertanian akan meningkatkan ekonomi luar bandar Sabah," katanya.

Sedangkan, menurutnya, Empangan Papar akan menjejaskan masyarakat setempat dan menyebabkan kehilangan biodiversiti semula jadi.

Kos untuk mengimbangi dan memindahkan komuniti tempatan akan menjadi sangat tinggi dan komuniti-komuniti ini akan menjadi sangat terdedah sekiranya program asimilasi gagal, katanya.

"Tidak dapat dinafikan, Empangan Papar akan menjejaskan sumber negeri dari segi tenaga kerja, kewangan dan masa," kata Sharan.

[Baca berita penuh]