Exco: Bantahan program Zakir di masjid Melaka 'pelik'
Exco Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, berpendapat tiada sebab untuk mana-mana pemimpin politik mempersoalkan program Dr Zakir Naik di negeri itu kerana ia diadakan di masjid dan bersifat ibadah.
Kata Mohd Rafiq, beliau sendiri belum pernah mendengar mana-mana pemimpin Islam mempertikaikan program agama lain yang dianjurkan di kuil, tokong atau gereja.
“Senario seperti ini sangat pelik dan melampaui batas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Rafiq yang juga pemimpin Bersatu berkata demikian sebagai mengulas bantahan sesetengah pemimpin politik - termasuk DAP - berhubung kedatangan pendakwah dari India itu ke Melaka.
Antaranya Adun Keroh, Kerk Chee Yee, yang menggesa semua pihak menghormati semangat keputusan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahary, untuk mengharamkan ceramah oleh Zakir.
Kerk yang juga exco komunikasi, multimedia, NGO, pembangunan belia dan sukan negeri berkata, walaupun Zakir tidak berceramah pada majlis itu, beliau merupakan individu yang menimbulkan kontroversi dalam masyarakat Malaysia.
Sementara itu, Rafiq yang juga merupakan pengerusi Masjid Cina Krubong - tempat majlis tersebut bakal berlangsung - menjelaskan program itu tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah aktiviti keagamaan.
Tak melibatkan ceramah
“Memang pun program Zakir Naik tidak ada kaitan dengan politik. Program ini hanya melibatkan ibadah dan solat.
“Program ini tidak dianjurkan oleh mana mana parti politik mahupun kerajaan tetapi program ini dianjurkan oleh Masjid Cina Melaka. Jadi tiada sebab program ibadah harus dipolitikkan,” katanya.
Baru-baru ini, poster program yang dinamakan "Malam Islam Bersatu" tersebar di media sosial dan menjadi persoalan susulan kontroversi melibatkan Zakir sebelum ini.
"Moga majlis ini berjalan lancar, dipermudahkan, diberkati dan dilindungi Allah SWT. Amin," kata Mohd Rafiq menerusi Facebook.
Pada 19 Ogos lalu dilaporkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari mengumumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan Zakir berceramah di negeri itu.
Bagaimanapun, media melaporkan bahawa polis Melaka tidak mempunyai halangan terhadap program bersama Zakir tersebut.
Ketua Polis Negeri, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ini kerana program tersebut hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.
Malaysiakini telah menghubungi Adly untuk mendapat penjelasan, namun belum menerima maklum balas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai