Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Demo isu Kashmir di Masjid Negara dan kedutaan UAE

Orang ramai berhimpun di kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Masjid Negara di Kuala Lumpur bagi menyatakan setia kawan dengan penduduk Jammu dan Kashmir yang didakwa ditindas kerajaan India.

Di luar kedutaan UAE, orang ramai berhimpun tengah hari tadi bagi menyuarakan bantahan terhadap layanan negara itu kepada Perdana Menteri India Narendra Modi.

Ia susulan kunjungan Modi ke UAE akhir bulan lalu - ketika ketegangan berlaku di Jammu dan Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam - yang antara lain menyaksikan beliau menerima anugerah kehormat awam tertinggi UAE iaitu Order of Zayed.

Dengan memegang kain rentang dan sepanduk mengecam Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dan Modi, mereka melaungkan "Bebas Kashmir" dan "Solidariti rakyat Kashmir" di depan kedutaan itu.

 

Wakil kumpulan itu juga cuba menyerahkan memorandum bantahan - yang menurut mereka disokong oleh 42 NGO Islam - tetapi tiada wakil kedutaan yang keluar untuk bertemu mereka dan menerima memorandum.

“Kami menyeru PPB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan dalam isu ini,” kata Presiden Ikatan Rakyat Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitcay kepada pemberita.

Dia menyuarakan kebimbangan keadaan yang berterusan di Kashmir akan menyebabkan rakyatnya menerima nasib yang sama dengan penduduk di Palestin.

“Kami khuatir rakyat Kashmir akan menerima nasib yang sama dengan Palestin, malah kami juga bimbang Kashimr akan jadi Palestin kedua, yang sehingga kini terus sengsara,” katanya lagi.

Bulan lalu, India membatalkan status Istimewa Jammu dan Kashmir yang membolehkannya menggubal undang-undang sendiri, menyebabkan ketegangan antara negara itu dan Pakistan.

Dua wilayah itu terbahagi dua - masing-masing dikuasai India dan Pakistan. Dua negara itu telah berperang sebanyak tiga kali sejak 1947 untuk menguasainya.

 Sementara itu, Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma) Mohd Fazil Abdullah berkata UAE sepatutnya memberikan anugerah kepada pemimpin yang memupuk perpaduan.

“Kita sangat kecewa dengan pingat yang diberi kepada perdana menteri India kerana pingat itu sepatutnya diberi kepada orang yang memupuk perpaduan di kalangan rakyat tetapi apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya.

“Orang yang menindas umat Islam di Kashmir pula diberi diberi pingat. Lain kali kalau UAE nak beri pingat beri kepada mereka yang memupuk perpaduan, bukan untuk mereka yang melakukan penindasan,” katanya lagi

‘Kenapa ahli parlimen kita diam?’

Sementara itu, di Masjid Negara perhimpunan sama turut diadakan yang antaranya melibatkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim.

Himpunan solidariti itu dimulakan dengan laungan takbir dan “Hidup Kashmir” dan “undur Modi!’’

Ia berlangsung kira-kira sejam selepas solat Jumaat.

Presiden Abim Mohamad Raimi Ab Rahim menggesa anggota parlimen tidak berdiam diri dalam memperjuangkan hak asasi kemanusiaan sesama Islam.

“Kenapa ahli parlimen kita di Malaysia tidak mengeluarkan kenyataan?

“Kita semua jangan mendiamkan diri sebab ahli parlimen di United Kingdom semalam telah buat kenyataan bahawa mereka sangat menentang apa yang berlaku di Kashmir,’’ katanya.

Abim turut menghantar memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Tinggi India di ibu negara bagi memperjuangkan hak asasi kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam di Kashmir.

Difahamkan seramai 40 NGO menandatangani memorandum tersebut.