Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Khutbah pesan jangan main sentimen dalam soal institusi diraja

Khutbah Jumaat hari ini berpesan agar tidak bermain dengan sentimen dalam soal melibatkan institusi Raja-raja Melayu.

Dalam khutbah yang dibacakan di masjid-masjid Wilayah Persekutuan, khatib berkata tindakan itu "boleh menggugat struktur negara dan juga menggugat keharmonian rakyat".

“Raja-raja Melayu diletakkan pada kedudukan yang tinggi, yang mana secara tidak langsung sebagai penjamin kepada pentadbiran Islam di Malaysia.

“Dalam erti kata lain, siapa yang merendah-rendahkan institusi diraja, secara tidak langsung ia merendahkan kedudukan Islam dalam perlembagaan,” kata khatib dalam khutbah bertajuk Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, Teras Perpaduan Rakyat Dan Kesejahteraan Negara.

Khatib berkata, raja berada di kedudukan teratas dalam sistem pemerintahan raja berpelembagaan dan berfungsi bukan sahaja untuk melindungi agama, tetapi menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan untuk semua kaum.

Justeru, katanya lagi, pihak yang ekstrem tidak boleh diberi ruang untuk mendominasi pandangan awam sehingga menyebabkan masyarakat tidak bersatu, tidak menghormati undang-undang sehingga memberi kesan kepada pembinaan negara.

“Berpadalah dalam menongkah arus, kerana satu kesilapan boleh membawa pada musibah yang besar.

"Sesungguhnya, menjaga keharmonian dan mengikat erat tali perpaduan ini, adalah tanggungjawab kita bersama dan ia merupakan sebahagian rasa syukur kepada Allah terhadap nikmat keamanan ini,” kata khatib lagi.