Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hari ke-5: Jho Low keluar masuk rumah Najib

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB masuk hari keempat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


4.40 petang: Hakim menangguhkan perbicaraan dan akan disambung 9.30 pagi Selasa depan.

Pada hari itu nanti, pihak pembelaan dijangka akan meneruskan soalan balas ke atas bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.


4.05 petang: Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu mahkamah, ahli perniagaan yang jadi buruan pihak berkuasa banyak negara, Jho Low, selalu dilihat di rumah Najib Razak sebelum ini.

Saksi pendakwaan itu berkata, keadaan itu menjadi salah satu sebab mengapa dia percaya Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - adalah orang yang rapat dengan Najib.

Sebelum itu Amhari ditanya peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah, mengenai sebab dia dan ketuanya ketika itu - Allahyarham Azlin Alias - menganggap Jho Low adalah orang yang akrab dengan bekas perdana menteri terbabit.

Shafee: Beritahu saya, apa yang kamu saksikan sendiri yang boleh dianggap Jho Low ialah seseorang yang dekat dengan Najib?

Amhari: Saya melihat dia lebih kerap keluar masuk rumah Najib berbanding orang lain.

Shafee: Kamu nampak sendiri? Di mana? Rumah di Jalan Duta atau...

Amhari: Kedua-dua (rumah), kebanyakannya di (Jalan Langgak) Duta.


Saksi: Jho Low terlibat bawa Manchester City ke M'sia

3.20 petang: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho pernah mencadangkan agar kelab bola sepak Inggeris, Manchester City datang ke Malaysia untuk perlawanan persahabatan, kata Amhari Efendi Nazaruddin.

Bekas pegawai khas Najib Razak itu berkata demikian ketika ditanya peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan bila dia meminta pengesahan Najib berkenaan Jho Low yang memberi arahan bagi pihak bekas perdana mentri itu.

Shafee: Jadi Jho Low juga terlibat dalam cadangan untuk Manchester City untuk datang ke Malaysia?

Amhari: Perkara serius seperti 1MDB dan lembaga pengarahnya dikendalikan oleh Azlin (ketika mengesahkan arahan Jho Low dengan Najib), tetapi berkenaan media sosial dan melibatkan orang atau acara, Azlin berkata saya boleh periksa dan sahkan berkenaan arahan Jho Low.

Amhari merujuk kepada Azlin Alias, bekas ketua setiausaha sulit Najib yang meninggal dalam nahas helikopter pada 2015.


'Jho Low macam tok dalang, manipulasi orang untuk kemahuannya'

2.45 petang: Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin menyifatkan Low Taek Jho sebagai seorang yang berkebolehan memujuk orang di kedudukan dan tahap yang berbeza, untuk mendapatkan apa yang diingininya.

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata demikian ketika ditanya peguam Muhammad Shafee Abdullah tentang mengapa dia menyimpulkan Jho Low sebagai "master manipulator".

Kesimpulan itu dinyatakan Amhari dalam pernyataan bertulisnya.

"...Dia mampu bertemu dan memujuk orang di pelbagai kedudukan, sama ada berpangkat tinggi, pertengahan atau rendah, melibatkan orang dan organisasi tempatan dan luar negara, untuk mendapatkan apa yang dimahukannya. Sehingga pada kebanyakan masa kita tidak kenal siapa orang itu," katanya.

Dia kemudian analogi perlawanan bola sepak, dengan berkata Jho Low ialah individu yang kenal semua orang - pengadil, pengurus kedua-dua pasukan, dan malah pihak yang membina stadium - dan mampu mengubah keputusan perlawanan mengikut kemahuannya.

Amhari kemudian setuju dengan cadangan Shafee bahawa Jho Low ialah seorang 'tok dalang' (master of puppet).


Pendakwaan mahu minta batalkan ikat jamin jika Najib terus lambat

2.34 petang: "Jika ini berterusan, kita akan minta pembatalan ikan jamin."

Kenyataan ringkas tapi tegas itu daripada ketua pendakwaan Gopal Sri Ram apabila Najib Razak sekali lagi lewat masuk ke mahkamah selepas rehat tengah hari tamat.

Terdahulu hari ini, Najib lewat selepas mahkamah berhenti rehat sekejap.

"Kami akan memaklumkan kepadanya," kata ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah.

Sequerah kemudian mengarahkan perbicaraan berhenti sementara menunggu Najib.

Bekas perdana menteri itu dilihat masuk ke mahkamah dan terus ke kandang tertuduh beberapa minit kemudian.


1 tengah hari: Perbicaraan berhenti rehat tengah hari dan akan bersambung semula pada pukul 2.30 petang.


Hadirin ketawa pen hakim habis dakwat

12.32 tengah hari: Mereka yang hadir di mahkamah hari ini tidak dapat menahan ketawa apabila hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah berkata pennya kehabisan dakwat.

"(Perlu) tukar pen," kata Sequerah kepada penterjemah mahkamah.

Penterjemah itu kemudian bangun dan kembali dengan pen baru tidak lama kemudian.

Collin Lawrence Sequerah


Saksi: Jho Low beri pinjam AS$200,000, kata tak perlu terburu-buru bayar

12.15 tengah hari: Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu mahkamah perniagaan Low Taek Jho meminjamkan AS$200,000 kepadanya pada 2010.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, saksi kelapan pendakwaan itu berkata dia berhasrat membayar semula setelah menjual rumahnya di Kota Damansara.

Menurut Amhari, dia pada mulanya cuba mendapatkan pinjaman daripada Bank Negara dan insititusi kewangan lain tetapi tidak berjaya, selain cuba meminjam daripada beberapa individu.

Katanya, ketika itulah Jho Low setuju untuk meminjamkan wang kepadanya, yang dipindah ke akaun Maybanknya daripada sebuah syarikat bernama Alsen Chance.

Bagaimanapun Amhari berkata dia tidak pernah membayar semula wang itu kepada Jho Low kerana tidak dapat menjual rumah tersebut, dan Jho Low juga menolak tawarannya untuk memindah milik rumah itu kepadanya.

"Selepas itu saya cuba lagi (untuk bayar). Saya beritahu dia yang saya boleh pindah milik rumah. Dia kata 'take your time'," katanya lagi.

Dia berkata mereka tidak membuat perjanjian bertulis untuk pinjaman itu memandangkan Jho Low berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.


Saksi: Saya dinasihati agar tak dengar arahan Jho Low

11.50 pagi: Menurut Amhari Efendi Nazaruddin, dia dinasihatkan orang atasannya di Pejabat Perdana Menteri pada 2008 untuk tidak mendengar kata-kata ahli perniagaan yang terpalit skandal 1MDB, Low Taek Jho.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, bekas pegawai khas Najib Razak itu berkata nasihat itu diberikan oleh Ab Aziz Kassim dan Allahyarham Azlin Alias.

Pada masa itu, Ab Aziz ialah ketua setiausaha sulit Najib, manakala Azlin adalah orang atasan Amhari di Bahagia Ekonomi Pejabat Perdana Menteri.

Katanya lagi, Ab Aziz dan Azlin menasihatinya agar mendengar arahan Najib sahaja dan tidak orang lain, termasuk Jho Low.

Dia meminta pandangan dua individu itu selepas diberitahu Jho Low yang Najib telah membenarkan ahli perniagaan itu untuk menjadi wakilnya dalam satu mesyuarat berkenaan Terengganu Investment Authority Bhd (TIA) - pendahulu kepada 1MDB.

Shafee: Soalan logik saya ialah, untuk isu yang tidak begitu kritikal, anda rasa penting untuk semak apa yang dikatakan Low. Anda juga dinasihatkan oleh dua orang - Ab Aziz dan Azlin - untuk tidak dengar sesiapa kecuali Najib. Anda sudah dinasihati untuk tidak dengar arahan Low.

Amhari: Ya.


11.32 pagi: Perbicaraan bersambung agak lambat kerana menunggu tertuduh, Najib Razak.

Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah kemudian memohon maaf kepada mahkamah kerana Najib tiada ketika hakim mahu memulakan semula perbicaraan, beberapa minit sebelumnya.

Shafee kemudian meneruskan pemeriksaan balas dengan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.


11.05: Perbicaraan berhenti rehat selama 15 minit.


Saksi: Saya, Azlin diancam Jho Low

10.55 pagi: Saksi kelapan pendakwaan Amhari Efendi Nazaruddin berkata ahli perniagaan Low Taek Jho memberi ancaman kepadanya dan setiausaha sulit Najib pada masa itu, Azlin Alias.

Bekas pegawai khas Najib itu berkata demikian ketika disoal peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan kandungan dalam pernyataan bertulisnya.

Ia berkenaan kenyataan Amhari bahawa dia dan Azlin merasakan kehidupan mereka mungkin terkesan dan berisiko hilang kerja jika tidak mematuhi arahan Jho Low.

Shafee: Anda merasakan ancaman daripada PMO (Pejabat Perdana Menteri ) atau perdana menteri (Najib)?

Amhari: Bukan secara terus daripada perdana menteri (Najib). Jho Low ada restu Najib.

Shafee: Itu yang didakwa Jho Low (kepada Azlin dan Amhari). Adakah anda rasa ancaman daripada bos anda sendiri (Najib) dan disampaikan melalui Jho Low?

Amhari: Seperti yang dikatakan Azlin (kepadanya ketika perbincangan antara mereka), ancaman bukan terus daripada PM, tetapi secara tidak langsung daripada PM.

Shafee: Ia (ancaman) daripada Jho Low?

Amhari: Ya.


Saksi: Akaun bank di Singapura dibuka untuk PRU ke-13

10.26 pagi: Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin berkata ahli perniagaan Low Taek Jho memintanya membuka akaun di Bank BSI Singapura sebagai persediaan menghadapi PRU 2013.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, Amhari berkata Low menyatakan perkara itu ketika perbincangan bersamanya dan Allahyarham Azlin Alias, setiausaha sulit Najib pada masa itu.

Amhari: Ia sebagai persediaan untuk PRU ke-13.

Shafee: Itu sangkaan anda?

Amhari: Saya sebut ia untuk dana politik. Tak setuju (hanya sangkaan) kerana ada perbincangan tentang akaun itu ketika pilihan raya makin hampir.

Shafee: Sekarang anda kata ketika (perbincangan) pembukaan akaun di sebuah bilik hotel, Low kata ia akaun persediaan untuk pilihan raya?

Amhari: Perbincangan itu antara Low, Azlin dan saya. Ia dari Low.

Shafee: Low kata ia untuk pilihan raya?

Amhari: Ya.

Akaun bank itu merupakan subjek dalam beberapa pendakwaan 1MDB terhadap Najib.


Saksi setuju 'orang sudah mati tak boleh cerita lagi'

10.20 pagi: Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin setuju bahawa bekas bosnya Azlin Alias, yang meninggal dunia pada 2015, tidak akan dapat membela dirinya.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, dia juga setuju bahawa lebih mudah untuk mana-mana individu meletakkan kesalahan kepada orang yang telah mati.

Shafee: Anda setuju orang yang sudah meninggal tidak boleh cerita lagi?

Amhari: Betul.

Ia susulan tindakan Amhari untuk terus menyebut nama Azlin dalam keterangannya, termasuk dalam soal urusan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Terdahulu, Amhari berkata pembukaan akaun di Bank BSI di Singapura dibuat atas arahan Low, kerana dia berpandukan Azlin.

Azlin bertugas sebagai setiausaha sulit Najib sehinggalah meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 2015.


Bekas pegawai Najib: Akaun BSI S'pura guna nama syarikat atas nama

10.15 pagi: Bekas pegawai Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin berkata akaun bank yang dibukanya di Bank BSI Singapura atas nasihat Jho Low pada 2012, didaftarkan di bawah sebuah syarikat atas nama (shell company).

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata, syarikat itu bernama 'Aerosphere Ltd' dan didaftar menggunakan namanya sebagai pemegang saham tunggal.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, Amhari berkata dia bagaimanapun tidak pernah mempersoal Jho Low berkenaan perkara itu.

Katanya, dia hanya mengikut perintah dan percaya kepada Jho Low dan Allahyarham Azlin Alias, yang merupakan orang atasannya di Pejabat Perdana Menteri ketika itu.


Peguam: Najib tak tahu Jho Low arah akaun bank dibuka di Singapura

9.55 pagi: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Najib Razak tidak tahu Amhari Efendi Nazaruddin - ketika itu sebagai pegawai khasnya - telah diarah oleh Jho Low untuk membuka akaun bank di Singapura.

Perkara itu dinyatakan peguam bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah ketika pemeriksaan balas dengan Amhari yang merupakan saksi kelapan pendakwaan.

Amhari kemudian berkata dia tidak pernah secara peribadi memberitahu Najib berkenaan perkara itu.

Shafee: Saya dapat arahan daripada anak guam saya yang sebelum pendedahan dalam pernyataan bertulis anda (berkenaan dakwaan Jho Low mengarahkannya membuka akaun bank di Singapura), dia (Najib) tidak tahu anda (buka) akaun bank di Singapura.

Amhari: Saya tidak tahu.

Shafee: Anda tidak pernah beritahu fakta ini kepadanya (Najib) yang Jho Low minta anda buka akaun bank, bulat-bulat percaya (Jho Low) dan tak kisah untuk beritahu bos anda (Najib)?

Amhari: Saya tak pernah. Tapi saya ada Azlin (Allahyarham Azlin Alias, orang atasan Amhari dan setiausaha sulit Najib ketika itu) dan lihat bagaimana dia kendalikan situasi, dan saya ikut langkahnya.

Shafee: Apa maksud anda?

Amhari: Saya sebut (dalam pernyataan bertulis) yang saya ikut Azlin, kerana pada masa itu saya pegawai junior, dan bukan seorang Datuk. Bukan senang nak jumpa Najib.

Pada masa itu, orang yang jumpa Najib ialah Azlin. Saya tiada ruang seperti Azlin untuk jumpa Najib.

Shafee Abdullah


Perbicaraan bermula

9.41 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.


9.25 pagi: Tertuduh, Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di barisan depan galeri awam sementara menunggu perbicaraan dimulakan.


Masuk hari kelima perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB terhadap Najib Razak, pasukan pembelaan dijangka menyoal bekas pegawai khas bekas perdana menteri itu, Amhari Efendi Narazuddin.

Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dijangka memulakan pemeriksaan balas dengan Amhari.

Amhari menerusi pernyataan bertulis 77 halamannya telah membuat sejumlah pendedahan yang menarik perhatian, sepanjang dua hari perbicaraan.

Misalnya di memberitahu mahkamah semalam yang Najib memberi mandat kepada ahli perniagaan Low Taek Jho untuk melaksanakan pelan menyelamatkan (bail out) 1MDB - yang melibatkan tiga projek mega dengan sokongan China, iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Saksi kelapan pendakwaan itu juga berkata tiada pegawai Pejabat Perdana Menteri yang berani mempersoal Najib berhubung sumber dana yang diterimanya.

Ketika perbicaraan bermula di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah hari ini, semua pandangan akan bertumpu terhadap pendekatan yang akan digunakan pasukan pembelaan dalam pemeriksaan balas dengan Amhari.