Tiada pegawai PMO berani persoal dana diterima Najib - Saksi
KES 1MDB NAJIB | Tiada sesiapa di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang berani bertanya Najib Razak mengenai sumber dana yang diterima olehnya semasa beliau menjadi perdana menteri, kata seorang saksi di mahkamah hari ini.
Amhari Effendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas kepada Najib, berkata, ini kerana pegawai PMO bimbang akan dilihat mempersoalkan kredibiliti bekas perdana menteri itu.
"Umumnya, saya percaya bahawa pegawai PMO tidak pernah dan bahkan tidak bertanya Najib dari mana dia menerima dananya, kerana ini akan dilihat tidak mempunyai keyakinan terhadap kredibiliti Najib," kata Amhari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Amhari, yang pernah bekerja dengan Najib dari tahun 2008 hingga tahun lepas, memberi keterangan sebagai saksi kelapan pendakwaan pada hari keempat perbicaraan terhadap Najib melibatkan dakwaan penyelewengan dana 1MDB.
Menurut Amhari, beliau percaya Najib menerima sebahagian dana daripada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Ini, kerana katanya, Low telah menjanjikan dana untuk digunakan bagi Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Saya percaya terdapat dana yang diperoleh daripada Jho Low sebelum PRU13. Dia beritahu saya dan Azlin Alias mengenai dana untuk tujuan memenangi pilihan raya di Pulau Pinang.
"Bagaimanapun, Jho Low tidak pernah menjelaskan bagaimana dia mendapat dana itu.
"Sehingga hari ini, saya tidak tahu status wang dalam akaun itu kerana ia masih di bawah kawalan Jho Low," kata Amhari.
Beliau merujuk kepada salah satu akaun bank yang dibuka di Switzerland dan Bangkok.
Dalam keterangan awalnya, Amhari berkata beliau membuka akaun berkenaan di bawah arahan Jho Low dan ahli perniagaan itu yang mengendalikannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai