Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hari ke-3: Jho Low sediakan surat bank elak siasatan ke atas 1MDB

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB memasuki hari ketiga di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Perbicaraan ditangguhkan, saudara Shafee meninggal

1.06 petang - Mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini kerana peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah terpaksa bergegas ke upacara pengkebumian saudaranya.

Semasa permohonannya untuk mendapatkan pasportnya semula awal pagi ini, Shafee memaklumkan Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa dua saudaranya, termasuk seorang sepupu, berada di hospital berasingan akibat demam denggi dan serangan jantung.

Beliau menyebut ini sebagai salah satu sebab akan kembali ke Malaysia secepat mungkin selepas mewakili seorang anak guam di Australia.

Tidak lama selepas itu, Shafee (gambar) memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima berita bahawa saudaranya yang dijangkiti denggi baru sahaja meninggal dunia.

Beliau kemudian meminta mahkamah untuk membenarkan penangguhan awal bagi menghadiri upacara pengebumian. Pihak pendakwa tiada bantahan.


Jho Low sediakan surat bank untuk elak siasatan lanjut ke atas 1MDB

12.55 tengah hari - Ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho (gambar) menyediakan lima surat termasuk yang dikatakan dari Arab Saudi, untuk mengelakkan siasatan lanjut ke atas 1MDB, kata bekas pembantu kepada Najib Razak.

Amhari Efendi Nazaruddin berkata demikian ketika membaca keterangan saksi.

Amhari berkata dokumen-dokumen itu diberikan kepadanya dan Azlin Alias, setiausaha peribadi Najib antara akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015.

"Low menyediakan langkah-langkah mengawal kerosakan berkaitan dengan isu 1MDB yang dimainkan secara meluas oleh media, termasuk di New York Times, Wall Street Journal dan Sarawak Report pada masa itu."


PMO tahu 1MDB jadi isu yang perlu ditangani seawal 2015

12.15 tengah hari: 1MDB ditandai oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebagai isu yang perlu ditangani pada awal 2015, kata bekas pembantu kepada Najib Razak ketika memberi keterangan di mahkamah hari ini.

Membaca kenyataan saksi semasa pemeriksaan utama, Amhari Efendi Nazaruddin mengatakan bahawa ini berlaku antara Januari dan Februari tahun itu, ketika gambar, e-mel, dan dokumen berkaitan dengan firma pelaburan negara itu mula tersebar.

"Pada awal tahun 2015, pendedahan itu mulai menjadi isu yang perlu ditangani oleh PMO terutama melalui (setiausaha peribadi Najib) Azlin Alias," katanya.

"Ini kerana media mula menyebarkan isu 1MDB yang melibatkan Najib. Azlin terlibat dalam menangani isu ini kerana beliau adalah yang paling berwibawa dan memiliki pengetahuan tentang 1MDB.

"Isu ini mula dicetuskan sekitar Januari dan Februari 2015 dengan penyebaran pendedahan, termasuk dengan bukti sokongan seperti gambar, dokumen, e-mel, transaksi bank dan pemindahan wang yang dikaitkan dengan kehilangan dana 1MDB menerusi usahasama Petrosaudi International-1MDB yang dikatakan telah dipindahkan ke akaun peribadi (ahli perniagaan) Low Taek Jho."


11.45 pagi - Penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho dalam menyediakan jawapan bagi soal jawab (FAQ) mengenai 1MDB untuk Pejabat Perdana Menteri 1MDB dipersoalkan sesiapa sahaja.

Bekas pembantunya kepada Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin, berkata ini dilakukan menerusi e-mel dan pertemuan antara beliau, Low dan allahyarham Azlin Alias, setiausaha peribadi Najib pada masa itu.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa terdapat juga mesyuarat di mana Low menyediakan dokumen dan maklumat untuk PMO apabila dan jika timbul soalan mengenai beberapa isu termasuk 1MDB. 


K'jaan Terengganu tak puas hati dengan pelan struktur TIA

11.40 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi bahawa kerajaan negeri Terengganu tidak gembira dengan rancangan struktur bagi Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kerana mereka tidak mempunyai mana-mana wakil untuk mewakili kepentingan negeri dalam syarikat itu.

Amhari mengatakan bahawa perkara itu disampaikan oleh kerajaan negeri semasa mesyuarat pada Mei 2009.

Menurut saksi itu, kerajaan negeri Terengganu juga tidak gembira kerana Menteri Besar Terengganu Diperbadankan (MBI) hanya mempunyai peranan tidak aktif dalam lembaga pengarah TIA.

Dalam keterangannya Amhari berkata beliau menyampaikan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Sulit Najib (KSU) Ab Aziz Kassim, yang menyatakan maklum mengenai perkara itu dan memberitahu untuk menunggu arahan daripada perdana menteri.


Jho Low jelaskan tentang TIA kepada pembantu Najib guna papan putih

11.30 pagi: Bekas pembantu kepada Najib Razak, Amhari Effendi, memberitahu mahkamah bahawa beliau mula mengetahui mengenai rancangan untuk membentuk Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) melalui pengumpulan dana apabila Low Taek Jho memberikan penjelasan mengenai perkara itu pada tahun 2008.

Beliau mengatakan bahawa Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menggunakan papan putih di dapur ahli perniagaan itu di rumahnya di Jalan Kia Peng untuk menunjukkan Amhari rancangan menubuhkan TIA.

Untuk makluman, TIA kemudiannya menukar namanya kepada 1MDB.

Amhari berkata banyak yang beliau tidak faham mengenai rancangan Jho Low kerana kurang pengalaman dalam perbankan pelaburan dan pengumpulan dana.

Bagaimanapun, saksi itu menambah, apa yang dia faham adalah TIA akan mengumpul dana melalui penerbitan bon untuk pelaburan luar negara.

Menurut beliau, pelaburan itu dijangka menguntungkan dan akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui dasar-dasar kerajaan termasuk program komuniti.


Jho Low sertai pertemuan dengan Tuanku Mizan untuk bincang TIA pada 2008

11.25 pagi: Mahkamah diberitahu oleh Amhari Efendi yang merupakan bekas pembantu kepada Najib Razak bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho menghadiri pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada tahun 2008 untuk membincangkan mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) .

Amhari dalam keterangannya berkata beliau juga ada dalam pertemuan itu untuk mewakili Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Menurut saksi berkenaan, pertemuan itu diadakan dalam suasana tidak rasmi di istana Sultan Terengganu di Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Aziz Akhir, yang merupakan abang ipar kepada Tuanku Mizan.

Amhari dalam keterangannya berkata Low semasa mesyuarat itu telah bercakap mengenai TIA.

Bagaimanapun, beliau menambah, sultan tidak memberikan sebarang keputusan atau bercakap sebarang perkara negatif mengenai idea berkenaan.


Jho Low sampaikan arahan Najib, kata saksi

11.05 pagi: Bekas pembantu kepada Najib Razak, Ahmari Efendi, dalam keterangannya berkata ahli perniagaan dikehendaki, Jho Jhow menyampaikan arahan daripada Perdana Menteri ketika itu kepadanya (Amhari) dan bekas setiausaha peribadi Najib, Azlin Alias.

Beliau berkata demikian ketika membaca kenyataan saksi yang disediakan semasa pemeriksaan utama yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

"Dia (Jho Low) merupakan penasihat tidak rasmi kepada Najib, terutama dari segi cadangan mengenai 1MDB.

"Jho mengatur rancangan pelaburan dan G to G (kerajaan kepada kerajaan), perancangan politik (caturan Politik) termasuk dana yang diterima oleh Najib," kata Amhari.

Beliau berkata bahawa banyak kali, Najib sendiri akan mengesahkan arahan yang disampaikan oleh Jho Low adalah darinya (Najib).


Najib seorang 'gentleman' dan pemimpin berkarisma, kata saksi

10.55 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas pembantu Najib Razak bahawa bekas perdana menteri itu adalah seorang pemimpin yang berkarisma.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-8, Amhari Efendi berkata beliau pertama kali bertemu Najib apabila ditemuramah ahli politik itu pada tahun 2008, ketika Najib merupakan timbalan perdana menteri.

"Sepanjang berkhidmat lebih 10 tahun, saya dapati Najib seorang pemimpin yang gentleman, berkarisma dan bijak mengolah apa dikehendakinya," katanya.


Pendakwaan panggil bekas pembantu Najib untuk beri keterangan

10.40 pagi: Perbicaraan bersambung dengan pihak pendakwaan memanggil saksi ke-8 mereka, Amhari Efendi, yang pernah bekerja sebagai pegawai khas kepada Najib Razak ketika menjadi timbalan perdana menteri dan kemudiannya perdana menteri Malaysia.

Amhari memberi keterangan bahawa beliau adalah salah seorang daripada dua pengarah Orb Solutions Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada Januari 2010 untuk mempromosikan jenama 1Malaysia dan mengendalikan blog 1Malaysia.com.my bagi pihak Najib.


Peguam minta pegawai SSM bawa maklumat mengenai dua syarikat yang berkaitan dengan Jho Low

10.35 pagi: Perbicaraan bermula dengan saksi pendakwaan ketujuh iaitu pegawai Suruhanjaya Syarikat (SSM) Rafidah Yahaya meneruskan keterangannya bagi mengesahkan dokumen yang berkaitan dengan syarikat-syarikat yang berkaitan kes 1MDB.

Setelah mengenalpasti hampir 180 dokumen SSM yang dikemukakan di mahkamah sejak Rafidah pertama kali dipanggil memberi keterangan Khamis lepas, DPP Mustaffa P Kunyalam yang menjalankan pemeriksaan utama kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai soalan lagi terhadap saksi berkenaan.

Ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah kemudian bangun dari tempat duduknya dan berkata beliau hanya memerlukan masa 5 minit dengan saksi itu memandangkan pendakwaan tiada lagi soalan untuk ditanya.

Beliau kemudian bertanya Rafidah jika dia boleh mendapatkan dokumen yang berkaitan dengan kedua-dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Syarikat itu ialah Wynton Private Equity Group (M) Sdn Bhd (630182-H) dan Utama Banking Group (240931X).

Rafidah memberitahu mahkamah bahawa beliau memerlukan satu hari untuk menyediakan dokumen-dokumen atas permintaan tersebut, dan Shafee kemudian meminta beliau untuk memaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila dokumen itu telah disediakan.

Saksi itu kemudian keluar dari kandang saksi.


10:15 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki kandang tertuduh sejurus perbicaraan bermula.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah mendengar dua kes berasingan.


Saksi pendakwaan kelapan dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) mungkin memberi keterangan dari kandang saksi pada hari ketiga perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dana RM2.28 bilion 1MDB hari ini.

Ini akan berlaku sekiranya saksi ketujuh, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Rafidah Yahaya menghabiskan keterangannya pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah bermula sekitar 9:30 pagi ini.

Pihak pendakwaan dijangka meneruskan pemeriksaan utama terhadap kakitangan SSM itu berkaitan hubungannya dengan dokumen yang berkaitan dengan pengarah dan pegangan saham serta perubahan nama anak-anak syarikat 1MDB, antaranya Powertek Investment Holdings Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, dan Mastika Lagenda Sdn Bhd.

Sekiranya pihak pendakwaan selesai pemeriksaan utamanya, Rafidah kemudian akan disoal balas oleh pasukan peguam Najib, sebelum beliau sama ada disoal semula oleh pihak pendakwa atau terus dibenarkan keluar dari kandang saksi.

Dalam prosiding minggu lepas, keterangan Rafidah yang mengesahkan dokumen syarikat mengenai pengarah syarikat-syarikat subsidiari 1MDB ini telah menyebut bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil; Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail, yang ketika itu pegawai khas kepada Najib; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB K Arul Kanda.