Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kenyataan pembukaan perbicaraan kes 1MDB dihadapi Najib

KES 1MDB NAJIB l Perbicaraan kes berprofil tinggi yang ditunggu-tunggu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib Razak bermula hari ini.

Pendakwaan memulakan kes dengan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, membacakan kenyataan pembukaan.

Berikut adalah kenyataan pembukaan sepenuhnya.

1. Kes ini berkaitan wang milik sebuah syarikat yang dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad yang lebih dikenali sebagai 1MDB. Syarikat ini pada asalnya dikenali sebagai Terengganu Investment Authority atau TIA. Tertuduh memainkan peranan dalam menukar syarikat itu kepada 1MDB. Beliau juga telah menyebabkan pindaan dibuat terhadap artikel syarikat bagi meletakkan dirinya sebagai pengawal tunggal dalam perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat. Ringkasnya, beliau adalah plenipotensiari (berkuasa mutlak). Di samping itu, beliau merupakan pengerusi lembaga penasihat syarikat. Beliau menggunakan kedudukan berkenaan dan perdana menteri serta menteri kewangan untuk melakukan tindakan tertentu dan mempengaruhi lembaga pengarah 1MDB untuk melaksanakan transaksi tidak normal yang tidak wajar dengan tergesa-gesa. Matlamat utama tertuduh adalah mendapatkan kepuasan untuk diri sendiri diri. Beliau berjaya mencapai matlamat itu.

2. Suatu ‘lakonan terperinci’ telah dilakukan. Ia dilaksanakan dalam beberapa fasa yang melibatkan beberapa watak. Bagaimanapun, tertuduhlah yang memainkan peranan penting. Objektif beliau ialah untuk memperkayakan dirinya.

3.Walaupun kes ini mempunyai empat fasa, kejadian berkenaan dengannya, dianggap sebagai sebahagian daripada cerita berturut-turut kerana rancangan yang telah dirancang oleh tertuduh untuk memperkayakan dirinya.

4.Watak penting dalam ‘lakonan’ ini ialah seorang lelaki bernama Low Taek Jho atau Jho Low. Beliau adalah pelarian keadilan. Beliau terlibat dalam TIA dan kemudiannya 1MDB. Pihak pendakwaan akan membuktikan tertuduh melalui kata-kata dan kelakuannya jelas kepada pegawai 1MDB, lembaga pengarah syarikat itu dan lain-lain bahawa Jho Low adalah individu yang dipercayainya.

Pada hakikatnya, Jho Low adalah imej yang mencerminkan tertuduh. Pihak pendakwaan akan mengemukakan fakta yang menunjukkan Jho Low dan tertuduh bertindak sebagai ‘satu’ pada setiap masa.

5. Keempat tuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berkaitan dengan setiap satu fasa. Mengenai pertuduhan ini, pendakwaan akan membuktikan, melalui bukti langsung dan mengikut keadaan bahawa tertuduh, pertama dalam kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dan kemudiannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan mengambil beberapa langkah yang membawa kepada sebahagian daripada dana 1MDB disalurkan ke akaunnya melalui beberapa laluan yang lain dari biasa bagi mengelak pengesanan sumbernya. Tertuduh menggunakan kedudukannya untuk kepuasan. Dalam setiap fasa, tertuduh bertindak sebagai satu unit dengan Jho Low.

6. Fasa pertama berkaitan senario kononnya usaha sama diwujudkan oleh tertuduh (bertindak melalui Jho Low dan seorang bernama Tarik Obaid (sekutu rapat Jho Low). Ia merupakan senario palsu usaha sama antara 1MDB dan sebuah syarikat yang dikenali sebagai PetroSaudi International Ltd atau PSI. Ia dikenali sebagai ‘Project Aria’. Pada fasa pertama berjalan seperti berikut.

7. 1MDB meminjam USD1 bilion yang kononnya untuk melabur syarikat usaha sama yang dikenali sebagai 1MDB Petro Saudi Ltd. Wang berkenaan akan dibayar ke dalam akaun syarikat usaha sama itu. Petro Saudi International akan menguasai sehingga 60 peratus daripada sahamnya dalam usaha sama itu dengan menyuntik aset tertentu dalam nilai yang meragukan. USD1 bilion itu adalah untuk mewakili sumbangan 1MDB kepada pemegangan saham 40 peratus. Tetapi Perjanjian Usaha Sama yang dikatakan dimeterai itubukan dengan PSI tetapi dengan sebuah syarikat dengan nama Petro Saudi Holdings (Cayman) Ltd dan Tarik Obaid yang melaksanakan perjanjian itu bagi pihak PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd. Bukti akan menunjukkan keadaan luar kebiasaan dalam usaha sama itu yang apabil diteliti akan mendapati hanya alat semata-mata untuk menyalurkan keluar wang 1MDB untuk faedah tertuduh.

Pendakwaan, melalui keterangan lisan dan dokumen, akan membuktikan bahawa USD700 juta daripada USD1 bilion itu, bukannya dibayar ke akaun syarikat usaha sama itu, tetapi dialihkan ke akaun sebuah syarikat dipanggil Good Start Ltd yang sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan usaha sama itu. Ia ditubuhkan di Seychelles pada 18 Mei, 2009, iaitu lima (5) bulan sebelum perjanjian usaha sama berkenaan dimeterai. Ia adalah syarikat milik dan dikuasai Jho Low.

9. Pembayaran kepada Good Star dibuat dalam tergesa-gesa dan tanpa kelulusan daripada lembaga pengarah 1MDB. Good Star digambarkan secara palsu sebagai anak syarikat milik penuh PSI. Pembayaran kepada Good Star, yang dijamin oleh tertuduh melalui Jho Low sebagai wang dihutang perjanjian usaha sama yang dirujuk sebagai kepada hutang yang dibayar oleh syarikat usaha sama kepada PetroSaudi Holding (Cayman). Pendakwaan, melalui dokumen, akan menunjukkan bahawa pinjaman yang dikatakan itu merupakan palsu yang digunakan untuk mewajarkan pembayaran kepada Good Star.

10. Pada Mac 2010, 1MDB menandatangani perjanjian pembiayaan Murabaha di bawah syarat-syarat yang didakwa ekuiti USD1 bilion dalam syarikat usaha sama ditukar kepada nota Murabaha yang tidak berguna dan 1MDB dikehendaki menyediakan kepada syarikat usaha sama itu sejumlah USD1.5 bilion. Pada September 2010, sejumlah USD500 juta telah dihantar kepada syarikat usaha sama itu. Wang ini telah hilang. Kemudiannya pada Mei 2011, sejumlah USD330 juta lagi yang sepatutnya menjadi tranche (bahagian) kedua pelaburan pembiayaan Murabaha, dialihkan kepada Good Star. Tertuduh mengambil langkah positif untuk melakukan transaksi ini.

11. Daripada jumlah asal sebanyak USD700 juta wang yang telah disalurkan oleh Good Star kepada beberapa orang termasuk Putera Faisal, rakan sekutu rapat tertuduh, Jho Low dan Putera Turki. Putera Turki, tertuduh dan Jho Low begitu rapat sehingga mereka bercuti bersama di sebuah kapal layar di selatan Perancis. Putera Faisal menerima USD12,500,000 daripada Good Star pada 18 Feb 18, 2011. Beliau menerima USD12 juta lagi daripada Good Star pada 10 Jun, 2011 yang datangnya daripada penipuan Murabaha. Daripada jumlah berkenaan, beliau memasukkan USD20 juta ke akaun peribadi tertuduh dalam dua bahagian, USD10 juta setiap satu. Bahagian pertama diterima tertuduh pada 24 Feb, 2011, iaitu enam hari selepas Faisal menerima wang itu. Tertuduh menerima bahagian kedua pada 14 Jun, 2011, iaitu empat hari selepas Faisal menerima wang itu. USD20 juta berkenaan bersamaan RM60,629,839.43. Ini berkaitan pertuduhan pertama.

12. Fasa pertama berakhir pada 2012 di mana 1MDB memegang kertas yang tidak bernilai. Penipuan telah dicapai, Good Star digulung pada 2 Mei, 2014, manakala PetroSaudi International digulung pada 8 April, 2015.

13. Fasa kedua membabitkan pengambilalihan aset dengan nilai yang diragui oleh 1MDB. Tertuduh menggunakannya dan bertindak melalui Jho Low, mengambil langkah positif dan menyebabkan 1MDB terlibat dalam dua transaksi di mana tertuduh memperoleh sejumlah RM90,899,927.28. Ini merupakan perkara dalam pertuduhan kedua.

14. Kedua-dua transaksi ini melibatkan pemerolehan dua pengeluar tenaga bebas iaitu Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd. Mastika memiliki 75 peratus saham dalam Genting Sanyen Sdn Bhd. Bagi pembelian itu, 1MDB bertindak melalui anak syarikatnya 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Ltd (semua syarikat Labuan) serta melalui syarikat berdaftar di Malaysia iaitu 1MDB Energy Sdn Bhd dan 1MDB Energy (Langat). Syarikat-syarikat ini digunakan untuk mendapatkan pembiayaan bagi kedua-dua pengambilalihan.

15. Saya akan menjelaskan setiap pemerolehan secara berasingan. Pinjaman penyambung tempatan sebanyak RM6.17 bilion yang diperoleh bagi pemerolehan Tanjong Energy. Jumlah tambahan USD1.75 bilion diperoleh melalui penerbitan nota pinjaman berstruktur 10 tahun. Goldman Sachs dilantik sebagai pengatur utama bagi penerbitan Nota berkenaan.

16. Daripada USD1.7 bilion, USD786 juta kepada Tanjong Energy. Daripada jumlah itu, sejumlah USD907 juta dibayar ke akaun 1MDB Energy Ltd dengan Falcon Bank di Hong Kong. Kira-kira USD577 juta ke Aabar Investments PJS Ltd (BVI). Pembayaran ini dikatakan sebagai deposit jaminan bagi syarikat pegangan Aabar, IPIC mengeluarkan jaminan menjamin Nota tersebut. Selain deposit jaminan, Aabar juag diberikan pilihan untuk memiliki 49 peratus saham yang dimiliki1MDB Energy Ltd dalam 1MDB Energy Sdn Bhd. Pada 22 Mei, 2012, sebanyak USD295 juta telah dibayar oleh Aabar kepada sebuah syarikat, Blackstone Asia. Blackstone adalah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Jho Low melalui sekutunya Tan Kim Loong yang juga dikenali sebagai Eric Tan. Beliau juga pelarian keadilan. Di samping itu, pada 25 Julai, 2012, sebanyak USD133 juta lagi dipindahkan oleh Aabar kepada Blackstone. Wang ini kekal dengan Blackstone sehingga Oktober 2012. Goldman Sachs dibayar USD192.5 juta bagi bayaran fi pengatur dalam penerbitan bon tersebut.

17. Bagi pengambilalihan Mastika, harga belian dikatakan pada RM2.75 bilion. Wang untuk urusan ini datang daripada dua sumber. Pertama, satu lagi Nota pinjaman berstruktur 10 tahun USD1.75 bilion. Bagi tujuan ini, 1MDB membayar Goldman Sachs sebanyak USD110 juta sebagai fi pengatur. Jadi, 1MDB memperoleh jumlah bersih sebanyak USD1.64 bilion. Jumlah ini dibayar ke akaun 1MDB Energy (Langat) Ltd di Falcon Bank, Hong Kong. Kedua merupakan pinjaman tempatan sebanyak RM700 juta. Jumlah pinjaman yang diperoleh daripada kedua-dua sumber ini ialah kira-kira RM6.16 bilion. Oleh itu, terdapat lebihan sebanyak RM3 bilion. Lebihan ini hampir habis oleh pembayaran pada 23 Okt, 2012, kepada Aabar Investment PJS (BVI) sebanyak kira-kira USD790 juta sebagai deposit jaminan bagi syarikat pegangan Aabar, IPIC yang didakwa menjamin pembayaran balik nota. sebagai jaminan tanmbahan, Aabar diberikan pilihan untuk memiliki 49 peratus saham milik 1MDB Energy (Langat) Ltd dalam 1MDB Energy (Langat) Sdn Bhd. Bagi pemerolehan Mastika, Genting Power dibayar USD710 juta. Pinjaman diperoleh melalui Nota bagi pembelian Mastika masuk ke akaun 1MBD Energy (Langat) Ltd pada 19 Okt, 2012.

18. Pada 23 Okt, 2012, Aabar membayar kira-kira USD291 juta kepada Cistenique Investment Fund (CIF). Pada hari yang sama Aabar membayar USD76 juta kepada Enterprise Emerging Markets Fund (EEMF). Pada 23 Okt, 2012, Aabar membayar USD75 juta kepada Blackstone. Ini merupakan sebahagian daripada USD790 juta yang dibayar kepada Aabar. Kemudiannya pada 5 Nov, 2012, Aabar membayar USD96 juta lagi kepada EEMF. Selepas CIF dan EEMF menerima wang berkenaan mereka membayar kepada Blackstone. Wang berkenaan kemudiannya disalurkan Blackstone ke akaun tertuduh seperti berikut.

19. Pada 30 Okt, 2012, sejumlah USD5 juta dibayar ke akaun tertuduh di AmPrivate Bank. Kemudian pada 19 Nov, sebanyak USD 25 juta dibayar ke akaun tertuduh. Jumlah keseluruhan yang diterima tertuduh pada fasa kedua didapati pada pertuduhan pindaan kedua. Bukti akan menunjukkan bagaimana penyebaran kewangan berlaku bagi memberikan kewajaran palsu pergerakan wang tersebut. .

20. Fasa ketiga berkenaan dengan satu lagi apa yang dikatakan sebagai usaha sama antara 1MDB dan Aabar dalam bahagian yang sama. Syarikat usaha sama dikenali sebagai ADMIC. Ini dalam pertuduhan ketiga. Tujuan usaha sama ini adalah untuk membangunkan TRX atau Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur. IPIC adalah untuk menjamin pelaburan Aabar. Kementerian Kewangan di mana tertuduh adalah menterinya, menjamin pelaburan 1MDB melalui surat sokongan. Satu pinjaman sebanyak USD3 bilion diperoleh bagi tujuan ini. Goldman Sachs bertindak sebagai pengatur pinjaman.

21. Pada 14 Mac, 2013, tertuduh menandatangani surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman melalui penerbitan bon oleh 1MBD daripada Bank of New York Mellon Group berjumlah USD3 bilion. Pada 19 Mac, 2013, sebanyak USD2.721 bilion dimasukkan ke akaun 1MDB Global Investment Limited dengan BSI Bank di Lugano, Switzerland. Bakinya digunakan untuk membayar fi Goldman Sachs.

22. Daripada USD2.721 bilion, sejumlah USD1,060,606,065 dibayar ke akaun dua dana fidusiari iaitu Devonshire Funds Ltd dan EEMF. Devonshire menerima USD646,464,649 dalam lima bahagian dalam dua hari, iaitu pada 20 dan 21 Mac, 2013. EEMF menerima USD414,141,416 dalam tiga bahagian juga dalam dua hari iaitu pada 20 dan 21 Mac, 2013.

23. Pada 21 Mac, 2013, Devonshire memindahkan USD430 juta kepada Granton Property Holding Ltd, syarikat yang dikuasai Eric Tan, bayangan Jho Low. Pada hari yang sama, Granton memindahkan keseluruhan jumlah itu kepada Tanore Finance juga sebuah syarikat yang dikuasai Eric Tan. Dan pada hari yang sama, iaitu pada 21 Mac, 2013, Devonshire memindahkan sejumlah USD210 juta kepada Tanore Finance Corporation. Kemudiannya, antara 22 dan 25 Mac, 2013, EEMF memindahkan USD250 juta kepada Tanore yang sehingga pada tarikh tersebut, mempunyai USD890 juta dalam tangannya.

24. Antara 21 Mac, 2013 dan 10 April, 2013 Tanore memindahkan USD681 juta ke akaun tertuduh. Mengikut mata wang kita, ia berjumlah RM2,081,471,926. Jumlah ini menjadi perkara utama dalam pertuduhan pindaan ketiga.

25. Berdasarkan keterangan yang akan dikemukakan pendakwaan, usaha sama yang disebut itu sebenarnya tidak berlaku. Tiada pelaburan dan tiada usaha sama sebanar. Semuanya penipuan. Ini mengakhiri fasa ketiga.

26.Fasa keempat berkaitan dengan pembelian pilihan Aabar oleh 1MDB. Ini merupakan pilihan yang diberikan kepada Aabar pada 2012 sebagai sebahagian pertimbangan yang dikatakan bagi jaminan IPIC untuk nota yang memperoleh USD3.5 bilion yang membentuk sebahagian daripada fasa kedua.

27. Pada Mei dan Ogos 2014, 1MDB melalui anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Ltd, memperoleh dua pinjaman berjumlah USD1.225 bilion daripada Deutsche Bank Singapore. Tertuduh meluluskan urus niaga itu. Pinjaman diperoleh dengan jaminan disediakan oleh 1MBD Energy dan 1MDB Langat. Terdapat pinjaman penyambung sebanyak USD250 juta dan pinjaman kemudahan sebanyak USD975 juta. Pinjaman pertama sebanyak USD250 juta diperoleh pada 26 Mei, 2014. Daripada jumlah itu, sebanyak USD239,939,970 dibayar ke akaun 1MDB Energy Holdings Ltd dengan Falcon Bank Hong Kong pada 28 Mei, 2014. Daripada jumlah itu, Energy Holdings membayar Aabar Investments PJS Ltd BVI sebanyak USD175 juta ke akaunnya di BSI Lugano, Switzerland yang dikatakan sebagai sebahagian menebus pilihan yang diberikan sebagai jaminan tambahan yang disebut dalam fasa kedua.

28. Daripada USD175 juta, sebanyak USD19 juta dibayar oleh Aabar ke akaun sebuah syarikat dikenali sebagai Affinity Equity International Partners Ltd. Pembayaran berkenaan dibuat pada 18 Jun, 2014. Akaun berkenaan di DBS Bank Ltd Singapore. Affinity Equity dikuasai oleh Eric Tan. Daripada USD19 juta, sebanyak USD1.89 juta dipindahkan ke sebuah sayrikat, Blackrock Commodities (Global) Ltd di akaunnya di DBS. Blackrock adalah syarikat yang dikuasai Eric Tan. Pada 23 Jun, 2014, sebanyak GBP750,000 dipindahkan ke akaun tertuduh. Jumlah itu adalah RM4,093,500.

Saya kini beralih kepada pinjaman kedua sebanyak USD975 juta yang diperoleh pada 1 Sept, 2014. Daripada jumlah ini, USD250 juta digunakan untuk menjelaskan pinjaman penyambung. Baki USD725 juta. Pada 3 Sept, sebanyak USD223,333,000 dipindahkan ke Aabar Investments PJS Ltd (diperbadankan di Seychelles) dalam akaunnya dengan UBS Singapore. Kemudian pada 30 Sept, 2014, sebanyak USD457,984,607 dibayar kepada Aabar Investments PJS Ltd (diperbadankan di Seychelles) ke akaunnya dengan UBS Singapore. antara 16 Okt, 2014 dan 17 Nov, 2014, Aabar memindahkan sejumlah USD226 juta kepada Aabar International Investment PJS Ltd ke akaunnya di Barbados. Antara 16 Okt 2014 dan 17 Nov, 2014, Aabar Barbados memindahkan USD225,500,000 ke Vista Equity International Partners Ltd (Barbados), sebuah syarikat milik dan dikuasai Eric Tan. Antara 23 Okt, 2014 dan 19 Dis9, 2014, Vista Equity melalui lima bahagian dalam mata wang sterling, memindahkan jumlah yang bersamaan dengan RM45,837,485.70 ke akaun tertuduh. Jumlah ini bersama-sama RM4,093,500 yang disebut sebelum ini menjadi perkara utama dalam pertuduan keempat. la mengikut sebahagian daripada jumlah yang didakwa digunakan untuk menebus pilihan yang berakhir di dalam akaun tertuduh. Itu bagi fasa keempat.

30. Saya kini beralih pula kepada dua puluh satu pertuduhan kesalahan pengubahan wang haram. Pertuduhan ini merupakan pertuduhan AMLA. Sembilan pertuduhan pertama berkait dengan penerimaan RM2,081,476,926 yang terdapat dalam pertuduhan pindaan ketiga. Wang berkenaan akaun ke akaun tertuduh yang berakhir dengan nombor 9694 dengan AmIslamic Bank. Antara 2 Ogos, 2013 dan 23 Ogos, 2013, tertuduh memindahkan sejumlah RM2,034,350,000 ke Tanore Singapore. Pada masa yang sama, tertuduh menggunakan baki RM22,649,000 untuk membayar empat entiti dann seorang individu. Kes pendakwaan adalah bahawa semua pembayaran ini memberi manfaat kepada tertuduh.

31. Selepas membuat pembayaran ini, tertuduh memindahkan baki ke akaun baharu yang nombor akaunnya berakhir dengan 1880 dengan AmBank melalui dua pindahan berjumlah RM162,436,711.87. Beliau menutup akaunnya yang berakhir dengan 9694.

Sepuluh pertuduhan serta pertuduhan 16 hingga 19 berkait dengan pemindahan yang dibuat tertuduh ke Tanore melibatkan RM2,034,350,000.

33. Pertuduhan 11 hingga 15 berkait dengan penggunaan dana oleh tertuduh yang sebelumnya dirujuk melalui pembayaran kepada empat entiti dan seorang individu. Semua pembayaran ini dibuat melalui cek ditandatangani tertuduh.

34. Pertuduhan 20 dan 21 berkait dengan pemindahan dana daripada akaun berakhir dengan nombor 9694 ke akaun dengan nombor 1880.

35. Pada bahagian akhir kes, pendakwaan akan membuktikan pertuduhan AMLA melalui keterangan langsung dan mengikut keadaan. Ia akan dibuktikan bahawa dalam semua keadaan kes itu, tertuduh melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang bertentangan dengant Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001

Selepas skandal 1MDB terbongkar pada awal Julai 2015, tertuduh dengan Jho Low mengambil langkah menutup jejak. Dokumen palsu dikeluarkan untuk memperlihatkan sebagai derma daripada Putera Arab. Antaranya surat-surat dan empat cek setiap satu jumlah USD25 juta yang ditulis oleh seorang yang dikata penderma Arab. Bagaimanapun cek ini bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.

Pendakwaan juga akan mengemukakan bukti untuk menunjukkan bahawa tertuduh mengambil langkah aktif untuk mengelak keadilan. Beliau juga mengganggu perjalanan penyiasatan kes ini yang telah dikenali sebagai Skandal 1MDB. Beliau mengambil langkah aktif untuk menutup perlakuan jenayahnya. Pihak pendakwaan akan mengemukakan semua bukti ini untuk menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai mens rea, yang beliau didakwa melakukannya.

- Bernama