Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Eh, ini rumah Tok Hashim Jasin....'

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, mendedahkan kunjungannya ke rumah Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, di Arau, Perlis baru-baru ini adalah tidak dirancang sebaliknya secara spontan.

Presiden Amanah itu memberitahu beliau menghadiri program di Perlis dan secara kebetulan melalui jalan raya berhampiran rumah Hashim.

"Kebetulan hari itu di Perlis dan dalam perjalanan (dari) satu tempat ke satu tempat, (tiba-tiba ternampak) eh, ini rumah Tok (Datuk) Hashim Jasin... saya biasa (pernah) datang rumah dia," katanya kepada Malaysiakini.

Disebabkan sebelum ini selalu digandingkan di pentas-pentas ceramah, Mohamad berkata, beliau memutuskan untuk singgah seketika bagi tujuan berziarah.

Tambahan pula, katanya, beliau dimaklumkan bekas pesuruhjaya PAS Perlis itu agak uzur.

"Saya dengar dia uzur, elok kita yang lebih muda ziarah yang tua-tua. Jadi, saya ambil kesempatan itu untuk ziarah," katanya.

Malaysiakini pada 25 Ogos lalu melaporkan Mohamad berkunjung ke rumah Hashim selepas selesai merasmikan serentak mesyuarat tahunan tiga kawasan Amanah Perlis.


Baca PAS Selangor sindir bahasa Inggeris Mat Sabu


Anggota parlimen Kota Raja itu berkata, sesuatu kunjungan ke Perlis tidak lengkap jika tidak bertemu dengan Hashim.

Kata Mohamad, Hashim adalah sahabat lama beliau dalam perjuangan politik dan selalu digandingkan di pentas ceramah suatu ketika dulu.

Mengimbau kenangan lalu, Mohamad berkata beliau berkecimpung dalam politik bersama PAS terlalu lama dan mempunyai ramai kawan dalam parti itu.

Jelasnya, meskipun kini mengemudi parti Amanah yang ditubuhkan pada 2015, namun hubung persaudaraan dengan anggota parti lamanya harus dikekalkan.

"Bagi saya perhubungan persaudaraan perlu dikekalkan, sebab itu saya ambik langkah menziarah rakan-rakan lama seperti Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, bekas timbalan menteri besar Kelantan.

"Saya ziarah Abdul Fatah Harun (bekas anggota parlimen Rantau Panjang), berjumpa dan minum dengan dia walaupun dia (Fatah) saya tak tahu parti apa," katanya.