MOF tak pernah beri pelepasan cukai pada Perak beli Toyota Camry
Kementerian Kewangan hari ini memberitahu, pembelian kereta Toyota Camry oleh beberapa kerajaan negeri baru-baru ini tidak mendapat pengecualian cukai kerana kenderaan itu bukan dipasang dalam negara (CKD).
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dipetik akhbar Sin Chew Daily pada Ahad lalu sebagai berkata, Pulau Pinang dan Perak membeli kenderaan jenis sama namun mendakwa pihaknya perlu membayar lebih kerana gagal mendapat pelepasan cukai.
Menjelaskan keadaan itu, Kementerian Kewangan berkata, tiada pengecualian cukai diberikan kepada kerajaan Perak atas pembelian tersebut.
Jumaah lalu pegawai kewangan Pulau Pinang Sarul Bahiyah Abu mengumumkan kerajaan negeri membeli 15 kereta baru Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi untuk exco mereka.
Cadangan untuk membeli kenderaan tersebut, katanya, diluluskan mesyuarat exco pada 13 Mac lalu.
Harga setiap kereta tersebut ialah RM184,912.50 menjadikan kos pembelian yang dikeluarkan kerajaan negeri sebanyak RM2.77 juta.
Bagaimanapun kerajaan Perak mendakwa mereka membelanjakan RM1.744 juta untuk membeli 16 buah Toyota Camry dengan harga setiap satu kira-kira RM109,000.
Permohonan tak dipertimbang
Exco Perak, Asmuni Awi, bulan lalu memberitahu DUN negeri itu penjimatan tersebut dibuat kerana kerajaan negeri menerima rebat serta beberapa diskaun lain dengan nilai keseluruhan RM81,000 setiap unit.
Mengenai perolehan yang dibuat kerajaan Perak, Kementerian Kewangan berkata, pihaknya tidak pernah menerima permohonan untuk pengecualian duti atau cukai atas perolehan Toyota Camry import tersebut.
Katanya, kelulusan juga tidak pernah diberikan kepada kerajaan Perak berhubung pengecualian duti atau cukai yang terlibat.
"Perlu ditegaskan bahawa Kementerian Kewangan tidak meluluskan pengecualian duti/cukai kepada kerajaan negeri untuk kereta import (CBU).
"Oleh itu, dakwaan bahawa kerajaan Perak telah mendapat pengecualian duti/cukai yang tidak diluluskan kepada kerajaan Pulau Pinang adalah tidak benar," kata kenyataan itu.
Kementerian Kewangan menjelaskan kerajaan Pulau Pinang ada membuat permohonan untuk pengecualian cukai bagi kereta yang ingin dibeli.
Hal yang sama, katanya, juga dibuat kerajaan Selangor pada 28 Nov tahun lalu.
Bagaimanapun kedua-dua permohonan tersebut tidak dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai