LHDN cukai wang pemberian suami saya, kata anak Najib
Anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak menyalahkan kerajaan selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengarahkannya membayar RM10.3 juta cukai pendapatan yang tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.
Dalam kenyataan di Facebook, Nooryana Najwa Najib menegaskan bahawa 'pendapatan' yang mahu dikenakan cukai oleh LHDN adalah wang yang diberikan oleh suaminya, Daniyar Kessikbayev.
"Suami saya dan keluarganya sudah menjadi kaya lama sebelum kami berjumpa dan malah lama sebelum ibu mertua saya berkahwin dengan salah satu taikun paling kaya di Kazakhstan.
"Apa pun, jika anda menganggap bayaran daripada suami kepada isteri sebagai pendapatan, pemindahan dana ini dari luar dan tidak seharusnya dikenakan cukai.
"Sejumlah kecil daripada apa yang dianggap pendapatan ini juga merupakan wang hantaran serta hadiah daripada keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Nooryana juga mendakwa bahawa LHDN mengenakan cukai ke atas rumahnya yang diperolehnya selepas suaminya menyenaraikannya sebagai pemilik bersama.
"Sejak tahun lalu mereka sudah mula mengaudit saya. Saya sudah lama menyerahkan semua bukti termasuk butiran dokumen pemindahan dana yang menunjukkan kebanyakan apa yang digelar pendapatan dari luar ini adalah pemindahan wang dari keluarga suami saya.
"Saya juga sudah menunjukkan bukti bahawa keluarga mertua saya membeli rumah menggunakan dana mereka dari luar," katanya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, LHDN memaklumkan bahawa ia telah memfailkan tindakan mahkamah terhadap Nooryana untuk mendapatkan cukai pendapatan belum bayar RM10.3 juta antara 2011 dan 2017.
Nooryana menyifatkan tindakan LHDN itu sebagai usaha kerajaan untuk menentang keluarganya.
"Saya tidak salahkan pegawai LHDN kerana saya tahu tangan mereka terikat kerana ada ahli politik di atas sana yang merupakan dalang di sebalik semua ini.
"Sama seperti kes bapa dan adik beradik saya yang dikenakan dakwaan sama atas sebab yang mengarut, ramai yang tahu perincian kes terkejut dan tidak dapat kata apa-apa tentang betapa kerajaan menyalahgunakan undang-undang.
"Semua bukti ini akan ditunjukkan di mahkamah satu hari nanti dan dunia akan tahu betapa mengarut dakwaan berkenaan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai