Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Guru pencen gagal dapat hak tiket loteri RM3j milik pesara polis

GLOBAL | Selepas dua tahun 'bersilat' di mahkamah, hakim membenarkan seorang polis pencen, Charoon Wimool, memiliki wang hasil loterinya berjumlah Bh24 juta (RM3.26 juta) yang dicabar seorang pesara guru.

Terdahulu Charoon, 63, meminta pihak berkuasa Thailand membekukan baki wang yang diberikan kepadanya selepas ia dicabar Preecha Kraikruan, 51.

Dalam keputusan di mahkamah Kanchanaburi hari ini hakim mendapati tiada bukti menunjukkan tiket loteri yang dimenangi Charoon sebenarnya milik Preecha.

Menurut Bangkok Post, Charoon memenangi loteri tersebut - bernilai Bh30 juta (RM4.07 juta) - bersama lima set tiket lain pada 1 Nov 2019.

Selepas dipotong cukai, wang yang diterima Charoon ialah sebanyak Bh29 juta (RM3.9 juta). Polis pencen itu kemudian membelanjakan kira-kira Bh5 juta (RM679,600) daripada jumlah tersebut.

Bagaimanapun, guru pencen terbabit kemudian memfailkan saman di mahkamah kerana mendakwa dia adalah pemilik sebenar tiket loteri yang dimenangi Charoon itu.

Selepas perbicaraan dijalankan, hakim mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan Preecha berada di sekitar kawasan Charoon membeli tiket loteri itu pada 30 Oktober 2017.

Charoon membeli loteri berkenaan di pasar Red City di daerah Muang, Kanchanaburi.